Selamba larikan Toyota Alphard dalam pagar rumah, tidak hirau jeritan, bunyi penggera

oleh Penyumbang Rencana|
Pemilik kenderaan pelbagai guna (MPV) hanya mampu melihat kenderaan mewah miliknya yang diparkir dalam perkarangan rumah dicuri di Jelapang, di Ipoh, pada Ahad.

Video berdurasi 15 saat yang dimuat naik melalui akaun TikTok 'farrahouz1', memaparkan kenderaan mewah itu sedang dilarikan individu tidak dikenali pada suasana gelap.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

Menerusi keterangan yang disertakan pada video yang sudah mendapat lebih dari dua juta tontonan berkenaan, kejadian yang berlaku di Meru, di Ipoh jam 3.50 pagi itu turut disaksikan individu yang merakam detik kejadian.

Menurut keterangan video itu juga, penjenayah itu berjaya membuka pintu pagar, membuka kunci kereta menggunakan peranti kawalan jauh, serta tidak melarikan diri walaupun kedengaran penggera diaktifkan serta suara jeritan.

Perompak tekad hidupkan enjin dalam tempoh lima hingga tujuh minit dan tidak lari (melarikan diri) walaupun kedengaran jeritan.

"Kami tak berani keluar takut perompak ada 'geng' (ahli kumpulan yang lain) tunggu di luar atau ada pistol... 'speechless' (tidak mampu berkata-kata)," menurut keterangan pada video itu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad mengesahkan berlaku kejadian curi kenderaan mewah itu.

Menurutnya, laporan polis berhubung kejadian diterima kira-kira jam 4.19 pagi Ahad daripada seorang lelaki berusia 43 tahun yang juga pemilik MPV jenis Toyota Alphard warna hitam itu.

"Siasatan awal polis di tempat kejadian mendapati Toyota Alphard yang berada di tempat letak kereta di dalam kawasan pagar rumah, dicuri oleh seorang lelaki yang belum dikenal pasti bangsanya.

"Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 379a Kanun Keseksaan iaitu kesalahan curi kenderaan motor," kata dalam kenyataan pada Isnin.

Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai suspek supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi pusat kawalan daerah (DCC) Ipoh di talian 05-2542222 atau ke mana-mana balai polis berhampiran.

Artikel dari Harian Metro

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Pemenang hadiah utama ialah Channumathy Manogaran dari Klang yang membawa pulang sebuah Perodua…
Pelancaran
Dari segi penawaran, Alphard dan Vellfire generasi baharu ini menampilkan ciri-ciri termaju,…
Berita Global
Berdasarkan video yang dimuatnaik menerusi akaun Instagram @infoponorogo, peniaga wanita itu…