Selamat menyambut ulang tahun ke-40, trak pikap Mitsubishi!

oleh Mohamad Hanif|
Tidak ramai yang mengetahui bahawa trak pikap Mitsubishi sebenarnya kini menyambut ulang tahun yang ke-40 pada tahun ini sejak pengenalan pertama ke dunia pada tahun 1978.

Ketika itu, industri dunia permainan video telah ditawan oleh permainan Space Invaders, dan Jepun pula pada ketika itu melancarkan sistem rangkaian telekomunikasi selular automatik pertama.


Generasi trak pikap Mitsubishi pula sebenarnya dimulakan oleh sebuah trak pikap 1 tan yang dinamakan sebagai Mitsubishi FORTE (tiada kaitan dengan Kia Forte) dengan keupayaan untuk mengendalikan pelbagai jenis permukaan bumi, serta mampu memberikan keselesaan seumpama sebuah sedan.

Disebabkan tahap versatiliti FORTE (lebih dikenali dengan L200 di sesetengah pasaran) yang terbukti kukuh, mudah untuk dikendalikan dan kemampuan membawa muatan yang menakjubkan, ia mudah mencapai populariti di seluruh dunia.

Pada asalnya, FORTE hanya ditawarkan dalam varian single cab sahaja dengan pilihan enjin 1.6 liter untuk pasaran Jepun manakala enjin diesel 2.3 liter ditawarkan untuk pasaran eksport.

Memasuki generasi kedua pada tahun 1986, baharulah trak pikap ini ditawarkan dengan tiga jenis badan (single cab, Club cab, double cab) dengan sistem pacuan 2WD dan 4WD.
 


Skema penamaan juga berubah daripada FORTE kepada L200/STRADA untuk pasaran Jepun, MIGHTY MAX (Amerika), Triton (Australia) manakala di Utara Amerika, ia pernah dijual oleh Dodge dengan nama RAM 50.

Generasi ketiga L200 STRADA dengan penggayaan seakan sebuah kereta penumpang mula diperkenalkan dan diproduksikan secara penuh di Thailand yang kini merupakan kuasa besar industri trak pikap sedunia.

L200 STRADA ditawarkan dengan pilihan enjin baharu 2.5 liter dan 2.8 liter diesel dengan sistem pacuan empat roda yang dilengkapkan dengan ciri Easy Select 4WD.

Trak pikap ini juga turut dilengkapi dengan ciri keselamatan termaju pada ketika itu seperti beg udara sebelah pemandu, tingkap kuasa anti-sepit, sistem brek ABS dan LSD hibrid untuk kestabilan pemanduan.
 


Trak pikap TRITON generasi keempat membuat pengenalan pertama dibuat di Thailand (kini anda tahu kenapa trak pikap sangat popular di Thailand) pada Ogos 2005 dengan reka bentuk serba baharu sepenuhnya dan enjin 2.5 dan 3.2 liter diesel common-rail.

Sistem pacuan ditawarkan dalam bentuk pacuan dua roda, manakala sistem pacuan empat roda pula dilengkapi dengan ciri Easy Select 4WD atau Super Select 4WD.

Mitsubishi telah membuktikan trak pikapnya rekaan baharu ini sememangnya kukuh menerusi penyertaan di Dakar Rally dan beberapa kejuaraan off-road 4WD di seluruh dunia.

Sembilan tahun selepas itu, Triton generasi kelima telah berevolusi menjadi sebuah trak pikap sport terunggul dengan reka bentuk yang lebih menarik dan menerima penawaran enjin MIVEC 2.4 liter diesel turbo, 2.5 liter diesel turbo dan enjin petrol 2.4 liter.

Buat pertama kalinya, sistem transmisi manual enam kelajuan dan automatik lima kelajuan dengan mod sport mula ditawarkan pada trak pikap Triton.

 

Bersempena dengan ulang tahun yang ke-40 kelahiran trak pikap Mitsubishi ke dunia, Mitsubishi bakal memperkenalkan trak pikap Triton baharu yang menampilkan reka bentuk elemen tersendiri Mitsubishi, iaitu Dynamic Shield.

Sebelum terlupa, Careta ucapkan selamat menyambut ulang tahun ke-40 trak pikap Mitsubishi!

Add new comment

Careta Ad

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Berikut merupakan senarai perkara yang dirangkumi dalam kempen panggil balik terbaharu ini.    1…
Berita Domestik
Bagi jualan yang dicatatkan daripada April sehingga September 2018, MMM telah mencatatkan jualan…
Berita Domestik
Program – program ini berjalan dengan jayanya dengan sokongan padu dari penaja – penaja seperti…