Selamat menyambut ulang tahun ke-30, Honda NSX!

oleh Mohamad Hanif|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Minggu ini genaplah tiga puluh tahun (sebaya pula dengan penulis) usia model Honda NSX sejak pengenalan pertama dibuat pada tahun 1989.

Kereta dengan konfigurasi mid-engine, garis badan yang rendah, ringan dan gandingan enjin yang mampu mengaum sehingga 8,000 rpm ini sememangnya mampu menggusarkan pihak lawan pada ketika itu. 

Fasa awal pembangunan Honda NSX sebenarnya sudah pun bermula sejak tahun 1984, bertempat di Pininfarina dengan kod nama HP-X (Honda Pininfarina-X) dan konfigurasi enjin 2.0 liter V6.
 


Daripada konsep HP-X inilah terhasilnya prototaip NS-X (New Sportscar X-Unknown) dan kemudian dengan nama yang kita sedia maklum, iaitu NSX. 

Ketika fasa awal pembangunan generasi pertama NSX, Honda pada ketika itu sudah pun mempunyai generasi FF (front engine, front wheel-drive) seperti Civic, Accord dan Integra, namun untuk Honda NSX, platform seumpamanya hampir tiada!

Untuk menyaingi Lamborghini dan Ferrari, format midship-engine, rear wheel-drive (MR) perlu dihasilkan dan menurut Honda, pasukan itu membina platform berkenaan berdasarkan Honda City generasi pertama. 
 


Salah satu fakta yang menarik berkenaan Honda NSX ini ialah ia tidak ditetapkan untuk menerima nadi enjin V6 dengan teknologi VTEC sepertimana yang dinikmati oleh pemandu-pemandu NSX sebelum ini, akan tetapi enjin V6 SOHC sahaja.

Ketika pengenalan konsep NS-X dilakukan di Hotel Drake, Chicago, presiden Honda Motor Co. pada ketika itu, Tadashi Kume secara tidak dijangka menghidupkan enjin prototaip sehingga mampu menarik perhatian media yang menghadiri sidang akhbar pesaing. 

Ketika itu, teknologi VTEC baharu sahaja dibangunkan untuk enjin empat silinder sebaris dan Kume secara tidak langsung 'menekan' pasukan pembangun supaya memuatkan teknologi tersebut pada enjin V6. 
 


Ketika sesi pandu uji bertempat di pusat R&D Honda Tochigi, rata-rata penguji daripada media Car and Driver, Motor Trend dan Road & Track memuji prestasi yang dihamburkan oleh prototaip NSX beserta enjin VTEC V6. 

Hasil pembangunan enjin baharu tersebut, dimensi kereta, jarak antara roda dan overhang depan serta belakang turut diubah semula bagi mengekalkan keseimbangan pengendalian NSX ini. 

Pemandu lagenda F1, Aryton Senna turut sama memberikan pandangan beliau ketika proses pengujian NSX dilakukan di Jepun, sebelum pasukan jurutera membawa model ini ke Litar Neraka Hijau untuk mengujinya ke tahap maksimum. 

Setelah lapan bulan ujian berterusan dilakukan, pasukan jurutera mampu meningkatkan kadar ketegaran casis sebanyak 50%.
 


Hasilnya, Honda NSX merupakan kereta produksi pertama yang menampilkan casis semi-monocoque aluminium sepenuhnya yang menjanjikan pengurangan berat sehingga 200 kg, enjin aluminium sepenuhnya selain daripada brek anti-kunci 4-channel, rod penghubung titanium, sistem stereng elektrik, dan sistem VTEC yang menjadi ikon kereta Honda. 

Manakala bahagian kokpit NSX ini pula mengambil inspirasi daripada rekaan kokpit jet pejuang F-16. 

Produksi generasi pertama NSX ini bermula pada tahun 1989 di kilang pemasangan Takanezawa, Tochigi dan kemudian berpindah ke kilang Suzuka sehingga akhir produksi pada tahun 2005.

Sehingga penghujung hayat NSX generasi pertama, sebanyak 18,000 unit berjaya keluar dari barisan produksi sebelum generasi kedua NSX hadir ke dunia pada tahun 2012.
 


Selamat menyambut ulang tahun yang ke-30, Honda NSX!

Berita Berkenaan

Berita Global
Perkara itu disahkan sendiri oleh CEO Honda, Toshihiro Mibe dalam satu temubual oleh laman Autocar…
Berita Global
Kali ini, projek NSX bertrailer tersebut direalisasikan sendiri oleh Honda, di mana jentera 'satu…
Berita Global
Unit terakhir itu merupakan sebuah NSX Type S yang diperkenalkan pada tahun lalu, dan angka…