Selamat jalan, Toyota Mark X - legasi sedan sports pacuan roda belakang Toyota

oleh Mohamad Hanif|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Lima puluh tahun berkhidmat sebagai sebuah sports sedan dengan konfigurasi pacuan roda belakang, Toyota akhirnya membuat keputusan untuk menamatkan sebuah lagi nama ikonik, Mark X. 

Memulakan hayat sebagai sebuah model Mark II pada tahun 1968, ia lebih dikenali dengan nama Corona Mark II bagi pasaran Amerika Utara, sebelum dijenamakan semula sebagai Cressida (nama khas untuk pasaran eksport) pada tahun 1977.

Sehinggalah model ini memasuki generasi ketiga, Toyota akhirnya lebih agresif memperkenalkan varian yang lebih sporty iaitu Chaser dengan penggayaan yang berbeza dan penawaran enjin yang lebih berkuasa. 
 


Strategi Toyota sangat menarik, memperkenalkan tiga buah varian berbeza (X60 Mark II, Chaser dan Cresta) bagi 'membunuh' para lawannya, dan ini menjawab persoalan kenapa Toyota sangat mendominasi pasaran Jepun sejak daripada dahulu lagi.

Hanya selepas memasuki generasi kelima (kod casis X70), nama Corona akhirnya digugurkan dan sedan ini secara mudahnya digelar sebagai Mark II semula. 

Sedan generasi kelima ini sebenarnya memiliki persamaan platform dan komponen trenkuasa daripada model sports Toyota terkenal pada ketika itu, JZA80 Supra. 

Ia juga menjadi sebab kenapa sedan berpacuan roda belakang ini kerap kali menjadi peserta di dalam mana-mana sukan drift di Jepun pada ketika itu. 
 


Namun seperti Camry, Mark II juga sebenarnya tidak dapat lari daripada imej kereta orang tua, dan untuk menghapuskan imej tersebut, Toyota menjenamakan semula sedan tersebut kepada Mark X bermula dari generasi X120.

Pilihan enjin juga tidak kurang hebatnya, enjin enam silinder bentangan V dengan kapasiti 2.5 liter sehingga 3.0 liter dan boleh didapati dalam konfigurasi pacuan roda belakang atau semua roda. 

Di Jepun, jika anda mahukan sebuah Camry akan tetapi tidak mahu sebuah kereta tarik hadapan, Toyota Mark X adalah jawapan untuk anda di pusat jualan Toyota Corolla Store. 

Namun, setiap benda yang baik ada penamatnya, dan Toyota Mark X hanya mampu bertahan sekitar dua generasi sahaja. 
 


Nasib Mark X itu kini hampir ke penghujungnya apabila Toyota bakal memproduksikan sedan Mark X Final Edition sebagai tanda selamat tinggal kepada sedan sports segmen D itu.

Enjin 2.5 liter 4GR-FSE didatangkan dengan dua variasi pacuan iaitu RWD atau AWD. 

Manakala dari segi kosmetik pula, Mark X 250S Final Edition ini menampilkan rim bersaiz 18 inci, upholsteri Alcantara merah dan hitam di ruang dalaman dan tiga warna pilihan; White Pearl Crystal, Silver Metallic dan Black Pearl.
 


Secara rasminya, Toyota Mark X bakal dihentikan produksinya daripada barisan pengeluaran pada Disember tahun ini, memandangkan generasi terkini lebih menggemari crossover dan minivan (lihat sahaja populariti Alphard/Vellfire).

Sebuah lagi nama ikonik daripada Toyota ditamatkan perkhidmatannya. Selamat jalan, Toyota Mark X. 

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Ini dia, Kia Stinger Scorpion Special Edition 2022 - model sedan sports edisi terhad yang hanya…
Berita Global
Sedan sports ini dikatakan mampu memecut sepantas bawah empat saat dari 0-100 km/j, terima kasih…
Model Terbaharu
Model facelift yang telah diperkenalkan di peringkat global tahun lalu itu dikuasakan oleh enjin 2.…