Menurut emel yang dihantar kepada laman web Motor1, wakil Dodge mengesahkan generasi baharu kedua-dua model tersebut bukan sahaja akan 'kehilangan' nadi V8 Hemi, malah keseluruhan penawaran enjin pembakaran dalaman.
Emel tersebut sebenarnya merujuk kepada artikel yang diterbitkan oleh MotorTrend yang mendakwa enjin Hemi akan kembali untuk model-model Charger dan Challenger.
"Cerita tersebut tidak benar. Generasi baharu (Charger & Challenger) akan menjadi model BEV sepenuhnya. Tiada lagi enjin Hemi, dan platform tersebut tidak akan digunakna kembali.
Platform yang dimaksudkan itu merupakan pelantar LX yang menampilkan konfigurasi pacuan roda belakang yang muncul pada tahun 2005, dan telah diubahsuai untuk model Charger dan Challenger, serta menampilkan penawaran enjin V6 dan V8 beserta transmisi automatik lapan kelajuan.

Ia bukan lagi satu rahsia Dodge sedang bekerja menghasilkan kereta muscle berkuasa elektrik.
Berdasarkan pengumuman yang dibuat tahun lalu, model konsep kereta muscle EV itu akan muncul dalam tempoh beberapa minggu lagi, dan ia bertindak sebagai model pra-tonton kepada model yang bakal muncul pada tahun 2024.
Namun, CEO Dodge Tim Kuniskis menjelaskan kemunculan model baharu itu tidak memberi makna pengakhiran kepada enjin pembakaran dalaman serta-merta.
Malah Kuniskis turut menyatakan platform EV baharu ini boleh wujud bersama-sama dengan platform sedia ada untuk tempoh masa tertentu.
Sumber: Motor1