Selamat datang, Lotus Evija - hypercar 2,000 PS, 1,700 Nm!

oleh Mohamad Hanif|
Setelah beberapa imej acah didedahkan oleh Lotus, akhirnya pada tarikh 16/07 waktu di London mereka secara rasmi memperkenalkan hypercar elektrik pertama, Lotus Type 130.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Lebih mesra digelar sebagai Lotus Evija, ia disasarkan supaya menjadi kereta produksi siri paling berkuasa di dunia. 

Kita teliti di bahagian luar terlebih dahulu di mana Evija nampaknya tidak meneruskan mana-mana elemen Lotus yang terdahulu. 

Sebaliknya, Lotus Evija merupakan model pertama menggunakan bahasa rekaan moden terkini Lotus. 

Rekaan hadapan dimulakan dengan bumper yang dipasang splitter bi-plane, manakala lampu laser yang tajam itu direka oleh Osram. 
 


Anda tidak akan terjumpa cermin sisi ala-ala Persona kerana Lotus Evija menampilkan tiga kamera luar termasuk kamera belakang di bumbung yang dilancarkan secara automatik apabila kenderaan dinyahkunci. 

Manakala imej daripada kamera tersebut akan dipaparkan pada skrin yang berbeza di dalam kabin.

Hypercar ini dilengkapi dengan empat buah motor elektrik yang mampu menjana output keseluruhan sebanyak 1,973 hp (2,000 PS) dan daya kilas 1,700 Nm. 

Ia membolehkan Lotus Evija memecut dari pegun ke 100 km/j dalam masa kurang dari tiga saat!
 


Spesifikasi Evija diteruskan lagi dengan pek bateri lithium-ion yang diletakkan di bahagian tengah kenderaan, yang memberikan jarak operasi sejauh 400 km untuk sekali cas penuh. 

Sistem pengecasan Evija dibangunkan secara khusus bagi membolehkan ia menerima sistem pengecasan pantas 800 kW yang masih belum terdapat secara komersil pada ketika ini. 

Sistem pengecasan 800 kW ini dikatakan mampu mengecas penuh dalam masa sembilan minit!

Usah risau, kerana sistem pengecasan pantas 350 kW sedia ada mampu mengecas 80 peratus kapasiti bateri dalam masa 12 minit dan pengecasan penuh dalam 18 minit.
 


Berat merupakan musuh utama hypercar, oleh itu Lotus telah menggunakan casis one-piece yang dibina daripada gentian karbon ultra-ringan dengan berat sekitar 129 kg - menyumbang kepada berat keseluruhan Evija 1,680 kg sahaja. 

Sistem suspensi Evija turut ditala bagi memberikan prestasi yang memberangsangkan di litar dan masih mampu menawarkan keselesaan tersendiri di jalan raya (tipikal sebuah Lotus, bukan?) - terima kasih kepada sistem suspensi yang menampilkan tiga penyerap hentak spool-valve adaptif pada setiap gandar. 

Kuasa daripada keempat-empat motor elektrik itu tadi disalurkan kepada tayar Pirelli Trofeo R yang membaluti rim magnesium bersaiz 20 dan 21 inci dan mampu dihentikan dengan sistem brek AP Racing aluminium forged dan cakera karbon seramik. 
 


Sistem penyejukan pula dilengkapi dengan empat radiator bagi memastikan suhu bateri di dalam takat optimum dan membolehkan Evija dipandu secara serius di dalam tempoh tujuh minit menggunakan mod Track.

Sebagai sebuah kereta terpantas, tidak sah apabila Evija tidak dilengkapkan dengan sistem aerodinamik aktif. 

Lotus turut memasang spoiler belakang aktif dan sistem pengurangan drag ala-ala F1 selain terdapat corong udara Venturi yang mengoptimasikan aliran udara ketika bergerak. 

Jika anda perasan, lampu unik LED di bahagian belakang direka dengan mengambil inspirasi daripada afterburner jet pejuang!
 


Ruang kabin tampil seringkas mungkin dan dibahagian tengah terdapat konsol yang berbentuk seakan alat kawalan jauh Astro berwarna gelap. 

Segala fungsi kenderaan boleh diakses menerusi butang kawalan skrin sentuh dengan maklumbalas haptik yang berbentuk heksagon. 

Pemandu dan penumpang pula disambut dengan tempat duduk Alcantara dan tali pinggang keledar tiga poin, dan opsyen harnesses empat poin ditawarkan bagi mereka yang berminat. 

Dibina sebanyak 130 unit sahaja, Lotus Evija kini sudah boleh ditempah dengan harga pendahuluan sebanyak £250,000 (RM1.276 juta). 
 


Unit pertama hanya akan dibina bermula tahun hadapan dengan harga jualan rasmi £1.7 juta (RM8.68 juta) sahaja tidak termasuk opsyen aksesori dan personalisasi yang ditawarkan. 

Berita Berkenaan

Berita Global
Ini kerana sepanjang tahun 2022, Lotus telah merekodkan kerugian berjumlah £145 juta (RM852.26 juta…
Gaya Hidup
  Kombo dua jentera Mercedes ini datang pada harga yang cukup menarik, sekitar $29.99 sahaja (…
Berita Domestik
Nampaknya pihak pengimport dan pengedar rasmi kenderaan berjenama Lotus di Malaysia, Lotus Karz…