Selamat Datang, Ford Mustang Mach-E!

oleh Mohamad Hanif|
Penambahan terbaharu kepada keluarga berprestasi tinggi Mustang, Ford Mustang Mach-E akhirnya rasmi dilancarkan oleh Ford dan ia juga merupakan kenderaan elektrik Mustang serta crossover Mustang yang pertama.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Dengan pengenalan Ford Mustang Mach-E, ia merupakan satu batu loncatan bagi Ford terhadap masa hadapan kenderaan elektrik yang berkeupayaan, prestasi tinggi dan lebih efisien di dalam satu pakej. 

 


Ford Mustang Mach-E hadir dengan dua opsyen pek bateri lithium-ion yang mampu menawarkan jarak standard dan jarak yang lebih jauh (standard range dan extended range). 

Versi standard menggunakan pek bateri 288 sel berkapasiti 75.7 kWh yang memacu roda belakang sahaja, manakala versi extended range pula dikuasakan oleh pek bateri 376 sel berkapasiti 98.8 kWh. 

Versi extended range ini menghantar kuasa yang diperlukan kepada kedua-dua gandar depan dan belakang. 
 


Jarak operasi pula mampu mencapai jarak sejauh 482 km untuk versi extended range pacuan roda belakang dan 434 km untuk versi pacuan semua roda. 

Manakala versi standard pula sekadar mencapai jarak sejauh 370 km untuk pacuan roda belakang dan 338 km untuk AWD.

Ford Mustang Mach-E masih menawarkan kuasa prestasi serta pemanduan seperti sebuah Ford Mustang, di mana varian yang lebih berkuasa Mach-E GT Performance AWD mampu menghamburkan 459 kuasa kuda dan 830 Nm dengan kuasa pecutan sepantas 3.5 saat dari 0-100 km/j. 

Namun, versi paling pantas ini tidak akan memasuki pasaran kerana memberikan peluang kepada varian Premium dan First Edition terlebih dahulu. 
 


Kedua-dua varian ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 332 hp dan 565 Nm serta boleh didapati dalam dua versi pek bateri dan konfigurasi pacuan roda.

Secara asasnya, terdapat sehingga sembilan varian yang boleh dibahagikan kepada lima varian utama seperti berikut:

Select Standard Range - 255 hp, 415 Nm
Select Standard Range AWD - 225 hp, 565 Nm
Premium Standard Range - 255 hp, 415 Nm
Premium Standard Range AWD - 255 hp, 565 Nm
Premium Extended Range - 282 hp, 415 Nm
Premium Extended Range AWD - 332 hp, 565 Nm
First Edition Extended Range - 332 hp, 565 Nm
California Route 1 Extended Range - 282 hp, 415 Nm
GT Performance Extended Range AWD - 459 hp, 830 Nm
 


Dari segi luaran, Ford Mustang Mach-E membawakan elemen rekaan Mustang seperti lampu utama, lampu tiga bar di bahagian belakang, garis bumbung yang lebih rendah serta logo kuda berlari yang menjadi identiti Ford Mustang. 

Pemegang pintu juga turut ditiadakan dan digantikan dengan butang khas yang diposisikan pada tiang pillar. 

Tiga set rekaan rim turut ditawarkan kepada pembeli bermula daripada 18 sehinggalah kepada saiz 20 inci. 
 


Rekaan ruang kabin juga menampilkan penggunaan bahan kulit berkualiti tinggi Sensico pada tempat duduk dan roda stereng, manakala papan pemuka pula dibalut dengan fabrik Premium Black Onyx atau Space Gray. 

Skrin sentuh tengah pula bersaiz 15.5 inci diposisikan secara menegak yang didatangkan dengan gugusan butang fungsi di bahagian bawah, sistem infotainmen Sync terkini, serta ciri keselamata aktif Ford Co-Pilot 360 2.0. 

Memandangkan binaan kereta elektrik yang tidak begitu memakan ruang, Ford Mustang Mach-E mampu menawarkan ruang kargo sehingga 821 liter di belakang tempat baris kedua, dan boleh mencapai kapasiti maksimum 1,688 liter apabila dilipat. 

 


Tidak cukup?

Ruang 'enjin' hadapan boleh memuatkan barangan sehingga 135 liter serta didatangkan dengan bahan yang mudah dibasuh serta ruang saliran air keluar. 

Ford turut mendakwa Mustang Mach-E memiliki ruang kabin yang terbaik di dalam kelasnya. 
 


Untuk pembeli Ford Mustang Mach-E, mereka akan menerima akses kepada jaringan pusat pengecasan dengan menggunakan FordPass Charging Network yang menawarkan keupayaan mengecas sehingga 76 km untuk tempoh 10 minit menggunakan pengecasan pantas DC 150 kW. 

Untuk kegunaan rumah pula, Ford Mobile Charger didatangkan sebagai standard dengan setiap pembelian, di mana ia boleh menggunakan plug standard 120 volt dan mampu mencapai jarak sehingga 4.8 km setiap jam. 

Namun, dengan menggunakan outlet yang lebih berkuasa (240 voltan), Ford mengatakan ia mampu mencapai kapasiti sehingga 80 peratus sekiranya dibiarkan dicas semalaman. 

Bagi mereka yang tidak mahu membazirkan masa menunggu, laburkan sahaja wang lebih untuk opsyen Ford Connected Charge Station yang lebih berkuasa (240 V, 48 amp) yang mampu memberikan jarak operasi sejauh 51 km setiap jam, dan mampu mencapai kapasiti penuh untuk semalaman. 
 


Untuk mereka yang mahu merasai prestasi sebuah crossover Mustang elektrik, anda boleh mendapatkan varian Premium dan First Edition bermula tahun hadapan, manakala selebihnya (Select, California Route 1, dan GT Performance) pula pada tahun 2021. 

Bergantung kepada spesifikasi yang anda inginkan, harga jualan anggaran Mustang Mach-E bermula dari $40,000 (RM166 ribu) sehingga $60,000 (RM249 ribu) dan ia akan diperincikan dengan lebih teliti sedikit masa lagi. 

Anda boleh menempah (sekiranya duduk di Amerika Syarikat) dengan wang tempahan sebanyak $500 (RM2,076). 

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut NTSB, maklumat awal menunjukkan Ford Mustang tersebut melanggar bahagian belakang sebuah…
Berita Global
Kini, perincian berkenaan SUV rali itu telah didedahkan sepenuhnya oleh Ford, di mana ia membawakan…
Berita Global
Pada tahun 2022, Ford telah mengumumkan panggilan semula untuk EV Mustang Mach-E yang melibatkan…