Selamat bersara Yoshimasa Sugawara-san! - Pelumba paling tua dalam sejarah Dakar Rally

oleh Mohamad Hanif|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Setelah memegang rekod sebagai pelumba paling lama bertahan di dalam sejarah Dakar Rally, Yoshimasa Sugawara akhirnya membuat keputusan untuk bersara pada usia 77 tahun. 

Pelumba yang berasal dari Hokkaido itu memegang dua rekod Guinness: menjadi individu yang mempunyai rekod memulakan perlumbaan berturut-turut sejak tahun 1983, dan pelumba yang mampu menghabiskan perlumbaan selama 20 siri berturut-turut (1989-2009). 

Menjadi pelumba paling tua dalam sejarah Dakar Rally, Yoshimasa Sugawara akhirnya meninggalkan kedudukan setelah 27 tahun beliau berkhidmat sebagai pemandu trak ralli Hino Ranger (atau Hino 500 Series).

 


Beliau memulakan karier di litar Dakar dengan menyertai pasukan Honda di dalam kategori motosikal, sebelum berpindah ke Mitsubishi dengan mengendalikan Pajero Evolution bermula dari tahun 1985-1991.

Hanya pada tahun 1992 sehinggalah beliau bersara, beliau memulakan kerjaya sebagai pemandu trak ralli bersama trak Hino 'Little Monsters'. 

Sepanjang kerjaya, beliau membawa pulang tujuh kemenangan buat Hino dan hanya gagal menghabiskan perlumbaan sebanyak tujuh kali sahaja, dan pencapaian itu sudah cukup untuk Hino menobatkan beliau sebagai seorang 'living legend'.

 


Memetik kata-kata beliau daripada laman rasmi Hino global, penulis amat tertarik dengan satu baris kata-kata ini:

"Setiap tahun, saya selalu meletakkan kata-kata semangat, "Garisan penamat merupakan garisan permulaan untuk perlumbaan berikutnya," dan sedar tak sedar, sudah 36 tahun masa berlalu."

"Tiada kata-kata yang mampu untuk menterjemahkan perasaan saya terhadap sokongan yang telah diterima selama ini, tanpa mereka saya tidak mungkin mencapai apa yang saya kecapi pada hari ini, ujar beliau.
 


Walaupun beliau sudah bersara, legasi Sugawara kekal di Dakar Rally apabila anaknya, Teruhito Sugawara meneruskan usaha yang dilakukan oleh bapanya. 

Teruhito memulakan kerjaya sebagai mekanik pasukan pada tahun 1998 sebelum diberikan peluang memandu Hino Ranger pada tahun 2005, dan siapa sangka, dua tahun berikutnya Teruhito berjaya mengalahkan bapanya sendiri dalam platform yang sama!

Selamat bersara, Yoshimasa Sugawara-san!

Sumber: Hino melalui Japanese Nostalgic Cars