Antara lain, keadaan ini dicetuskan oleh faktor kenaikan harga diesel susulan konflik Asia Barat dan pengurangan bilangan perjalanan terpaksa dibuat bagi mengelak syarikat menanggung kerugian jika beroperasi di bawah kapasiti.
Perkhidmatan feri diterajui Konsortium Ferry Line Ventures pernah menyediakan kekerapan 10 hingga 12 perjalanan sehari.
Pengurus Besar Konsortium Ferry Line Ventures, Kapten Dr Baharin Baharom, berkata catuan perjalanan feri dilakukan bagi memastikan tujuh syarikat penyedia perkhidmatan kekal berdaya saing.
Katanya, ada masanya feri terpaksa belayar dengan menanggung kerugian termasuk ketika waktu pandemik melanda kerana perlu patuh kepada jadual ditetapkan.
"Kami meminta keadilan dari segi kadar tambang kerana feri di Pangkor dan Tioman dibenar mengenakan caj RM2 setiap batu nautika.
"Bagaimanapun, di Langkawi kadarnya lebih rendah dengan feri dari Kuala Perlis belayar pada kadar 88 sen per batu nautika dan dari Kuala Kedah RM1, menyebabkan syarikat menanggung kos operasi sangat tinggi," katanya.
Mengenai kemungkinan bilangan kekerapan perjalanan feri dapat dikembalikan kepada jadual asal, beliau berkata, ia sukar dilakukan tahun ini berdasarkan situasi semasa.
Usaha tambah kekerapan
Bagaimanapun, katanya, syarikat berusaha mengembalikan kekerapan perjalanan feri kepada jadual asal kerana menyedari ia mampu menarik lebih ramai pelancong terutama warga tempatan ke Langkawi.
"Memang kita berusaha ke arah itu (meningkatkan kekerapan perjalanan feri). Namun, atas faktor peperangan, harga diesel dan kos tambahan lain, ia sukar dilakukan ketika ini menyebabkan feri perlu beroperasi berdasarkan permintaan.
"Catuan tidak bermakna feri tidak beroperasi, tetapi kita perlu mengambil kira kos kerana aliran tunai syarikat perlu digunakan sebaik mungkin bagi memastikan kami dapat terus beroperasi," katanya.
Baharin berkata, pihaknya sedia menambah jadual kekerapan perjalanan feri terutama pada musim cuti sekolah dan cuti umum bagi memastikan pelancong dapat membeli tiket mengikut keperluan mereka.
Harga pakej pelancongan kekal di sebalik cabaran kos
Kemuncak kehadiran pelancong ke Pulau Langkawi direkodkan pada 2019 dengan kunjungan hampir empat juta pelancong.
Ketika itu, komposisi pengunjung adalah sekitar 60 peratus pelancong tempatan dan 40 peratus bakinya pelancong asing dari Asia Barat, Eropah dan China.
Bagaimanapun, pandemik COVID-19 bermula 2020 menyebabkan kemasukan pelancong merudum dan statistik direkodkan pada 2021 hanya 1.09 juta.
Peningkatan pelawat ke Langkawi kini membawa trend baharu apabila komposisinya berubah dengan 60 peratus pelancong dari luar, manakala bakinya tempatan.
Antara faktor dikaitkan ialah masalah feri, harga perkhidmatan terlalu mahal dan dakwaan pelancong tempatan memilih ke negara jiran.
Pengerusi Persatuan Penggiat Industri Pelancongan Langkawi (PPIPL), Raseli Yahya, berkata Langkawi berada di landasan tepat dalam usaha mengembalikan statusnya sebagai destinasi utama pelancongan Malaysia.
"Tahun ini, ada sedikit penurunan pada Februari dan Mac berbanding tahun lalu disebabkan Ramadan dan Syawal, selain kesan peperangan di Asia Barat.
"Tindakan pihak feri mengehadkan perjalanan turut menjejaskan kemasukan pelancong, namun mereka akan meningkatkan perjalanan bermula bulan ini," katanya ketika ditemui.
Katanya, penggiat industri di Langkawi masih mengekalkan harga pakej pelancongan walaupun berdepan cabaran kenaikan kos.
Membandingkan Langkawi dan destinasi pelancongan di Thailand, katanya, adalah tidak adil kerana kedua-duanya menawarkan lokasi dan pengalaman berbeza.
"Langkawi adalah pelancongan di pulau, jika kita melancong ke pulau peranginan di negara jiran juga sudah pasti harga pakej dan penginapannya berbeza berbanding di lokasi kawasan darat.
"Cuma saya akui kita sedikit kalah apabila membabitkan faktor layanan dan persembahan kepada negara jiran, namun perkara itu boleh diatasi malah kita sudah mula melatih penggiat industri tempatan mengutamakan layanan," katanya.