Seksyen 11 WCE Laluan Beruas-Taiping Selatan dibuka tahun depan

oleh Hamimah Hamid|
SEKSYEN 11 laluan Beruas-Taiping Selatan Projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) akan siap pembinaan hujung tahun ini dan mula dibuka tahun depan.

Pembukaan seksyen tersebut menjadikan empat lagi seksyen WCE beroperasi termasuk
Seksyen SKVE, Banting, Assam Jawa di Selangor.

Ketua Operasi Lebuh Raya WCE, Syed Muhd Naguib Syed Mohd berkata, setakat ini pembinaan dari Beruas ke Taiping Selatan membabitkan laluan 35.5 kilometer sudah siap 88 peratus.

 

"Pembinaan kini membabitkan elemen kejuruteraan, tol, kerja-kerja pembinaan cerun dan kerja-kerja mekanikal," katanya.

 

Beliau berkata demikian selepas sesi libat urus West Coast Expressway Sdn Bhd (WCESB) bersama media Perak di Ipoh hari ini.

 

Turut hadir Pengurus Besar Komunikasi Strategik WCE, Syed Mohammed Idid Syed Ahmed. 

 

Syed Muhd Naguib berkata, bagi jajaran Perak, WCE merancang untuk membina empat kawasan Rehat dan Rawat (R&R) iaitu R&R Teluk Intan (utara dan selatan), R&R Sungai Wangi (selatan), R&R Ayer Tawar (utara) dan R&R Sg Nyior (utara dan selatan).

 

Jajaran itu katanya akan menyediakan dua hab kemudahan mengecas kenderaan elektrik (EV) iaitu di Lekir dan Teluk Intan.

 

Tambah beliau, oleh kerana laluan berkenaan yang turut melalui Hutan Simpan Bubu, WCE akan turut membina pembetung kekotak haiwan sebagai satu langkah untuk pemeliharaan alam sekitar dan ekosistem.

 

"Ini bagi membolehkan apa sahaja perhubungan antara haiwan-haiwan ini dapat dikekalkan susulan daripada pembinaan lebuh raya di kawasan itu," katanya.

 

Sebelum ini WCE bagi jajaran Selangor dan Perak dijangka siap secara sepenuhnya pada 2025.

 

Lebuh raya merentasi Selangor dan Perak sejauh 233km itu dibina di sepanjang pesisiran pantai barat Semenanjung dibina untuk kemudahan pengguna lebuh raya ke utara.