Sejarah 'suicide door' dan bagaimana ia mendapat nama yang sangat kejam

oleh Mohamad Hanif|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Secara teknikalnya, suicide door atau pintu bunuh diri ini merujuk kepada pintu yang mempunyai engsel terletak di bahagian belakang dan cara bukaan yang sama sekali berlainan berbanding pintu konvensional. 

Pintu jenis ini mempunyai kelebihan tersendiri, oleh kerana ruang bukaannya yang lebih besar berbanding pintu biasa, ia memudahkan urusan penumpang belakang untuk keluar dan masuk. 

Suicide door ini sebenarnya bermula daripada sejarah kereta kuda lagi di mana kereta merupakan satu objek bergerak yang sangat niche pada ketika itu. 
 


Para pereka kereta kuda mahukan penampilan kereta tersebut lebih berkelas tinggi, jadi mereka meniru mekanisme pembukaan pintu gaya Perancis di mana dua buah pintu dibuka dari tengah dan diikat dengan engsel pada kedua-dua penghujung pintu berkenaan. 

Lama kelamaan, kereta dengan enjin pembakaran dalaman berevolusi dan rekaan pintu ala-ala Perancis tersebut kemudian dipindahkan sama. 

Seperti mana kereta kuda menjadi lambang status dan kekayaan seseorang, sama juga halnya dengan kereta kerana pada awal kurun ke-20, kereta masih lagi terlalu mahal kerana ia direka untuk golongan yang terlajak kaya. 
 


Sehinggalah pada tahun 1960-an di mana perang kuasa kuda meletus antara para pengeluar kenderaan dan seorang lelaki yang prihatin, Ralph Nader menerbitkan sebuah buku "Unsafe at Any Speed: The Dangers of the American Automobile" mendakwa syarikat pengeluar Amerika tidak begitu serius menjaga keselamatan pengguna.

Malah, salah satu aspek yang disentuh oleh beliau ialah keselamatan rekaan suicide door kerana ia dikatakan mampu untuk membunuh dan mencederakan penumpang. 

Apabila pintu belakang dibuka, besar kemungkinan ia akan dilanggar oleh kereta lain dan kesan hentakan tersebut akan berbalik kepada penumpang, apatah lagi apabila tali pinggang keledar bukanlah satu perkara yang wajib pada ketika itu. 

Kesan daya aerodinamik juga boleh menyebabkan pintu belakang terbuka dengan sendiri apabila kereta sedang dipandu laju, dan isu ini dibangkitkan oleh Consumer Reports pada Subaru 360 tahun 1969.
 


Sedar akan risiko yang disebutkan, para pengeluar kenderaan mula untuk meletakkan ciri keselamatan seperti kunci dan tali pinggang keledar pada kereta mereka, walaupun kemungkinan cedera akibat dilanggar oleh kenderaan lain masih lagi tinggi. 

Disinilah nama samaran suicide door diperoleh. 
 


Namun, dari sudut positifnya, suicide door ini sebenarnya mempunyai kelebihan tersendiri jika dibandingkan dengan pintu konvensional. 

Ketika zaman karier pemandu bertauliah masih lagi relevan (terutama kepada pemilik Rolls-Royce), pintu jenis ini memudahkan kerja mereka untuk mengakses kepada pintu belakang tanpa perlu melakukan pergerakan yang lebih. 

Tanyalah pemandu Teksi London dan anda akan faham sebab disebalik kemudahan suicide door ini. 
 


Bagi mereka yang sudah berkeluarga, pemasangan kerusi kanak-kanak juga menjadi lebih mudah apabila kereta didatangkan dengan suicide door, selain murah untuk diproduksikan kerana mekanisme yang ringkas berbanding pintu gelongsor. 

Contoh paling mudah ialah MPV Opel Meriva B 2010.

Oleh kerana risiko keselamatan yang dibangkitkan, tidak banyak pengeluar kereta moden yang masih setia dengan suicide door ini, akan tetapi rekaan ini masih boleh didapati pada model-model kereta seperti Honda Element, Toyota FJ Cruiser, BMW i3 dan Mazda RX-8.

Rekaan pintu yang dibawakan pada model-model yang disebutkan tadi  lebih dikenali dengan nama clamshell door, di mana pintu belakang tidak boleh diakses sewenang-wenangnya selagi pintu hadapan belum dibuka. 
 


Nama suicide door juga kini tidak digunakan dengan meluas, kerana siapa saja yang hendak pakai nama pintu bunuh diri untuk mempromosikan kereta mereka, bukan?

Oleh sebab itu, terdapat beberapa terma dan nama yang digunakan seperti freestyle door (Mazda), FlexDoor (Opel), dan Coach Doors (pengeluar jenama mewah seperti Rolls-Royce dan Lincoln). 

Namun, oleh kerana sejarah yang tercatat, ramai di antara kita lebih senang menyebutnya sebagai suicide door

Jangan tidak tahu, Perodua juga pernah mempamerkan kereta X-Concept yang hadir dengan suicide door pada acara KLIMS'18 tahun lalu. 

Baca: Perodua X-Concept KLIMS'18

 


Kredit: DriveTribe 

Berita Berkenaan

Berita Global
Ciri ini apabila digunakan pada kereta sports seperti 300SL, DMC DeLorean, serta Autozam AZ-1 (…