Sejarah ringkas tujuh jenama kenderaan Jepun popular!

oleh HEZERI SAMSURI|
Kita memang maklum bahawa jenama kereta Jepun adalah yang paling popular di negara kita, selepas kenderaan nasional Perodua.

Di bawah kami sediakan sejarah ringkas tujuh jenama kenderaan Jeoun yang paling popular di negara kita!
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Honda Dream


Honda - Bermula dengan kedai talaan kereta lumba

Dalam tahun 1937, Soichiro Honda membuka syarikat untuk menghasilkan gegelang piston (piston ring) untuk sebuah syarikat talaan kenderaan, Art Shokai. 

Beliau kemudian cuba membekalkan komponen yang sama kepada Toyota, tetapi kontraknya terbatal kerana kualiti yang tidak menepati piawaian.

Dari situ beliau belajar dengan sendiri untuk menghasilkan komponen logam yang lebih baik.

Kenderaan pertama Honda yang dihasilkan secara lengkap ialah motosikal D-Type Dream pada tahun 1949 (Soichiro pernah menghasilkan basikal dengan enjin tetapi tidak dikira kerana syarikat itu belum lagi ditubuhkan).

Kereta pertama Honda dikeluarkan dalam tahun 1963 dan ia sebenarnya ialah sebuah trak pikap - Honda T360.

 

 

Toyota - Bermula dengan mesin tenun

Dalam tahun 1924, Sakichi Toyoda mencipta mesin tenun Toyota Model G Automatic (masih ada di muzium Toyota di Nagoya).

Pada tahun 1929, ia menjual hakcipta mesin tenun itu kepada sebuah syarikat British dan duit itu dijadikan modal untuk memulakan pembangunan kenderaan.

Tahun 1933, bahagian automotif Toyoda Automatic Loom Works diwujudkan di bawah anak Sakichi, Kiichiro Toyoda.

Kenderaan pertama mereka ialah kereta penumpang A1 dan trak G1 dalam tahun 1935. Toyota banyak menggunakan teknologi US pada awalnya, terutama dari Dodge Power Wagon dan Chevrolet.

Syarikat itu menganjurkan satu pertandingan untuk logo baru bagi kenderaan mereka dan dari 27,000 penyertaan dan akhirnya pada Ogos 1937, nama syarikat itu secara rasmi menjadi Toyota Motor Company.

Oh ya, nama Toyoda sebenarnya bermaksud "padi yang subur".

 

 

Nissan - syarikat kereta pertama Jepun

Ia bermula dengan syarikat Kaishinsha Motor Car Works pada Julai 1911 di Tokyo dan dalam tahun 1914, kenderaan pertama mereka dihasilkan dengan nama DAT.

DAT ialah singkatan dari nama tiga pelabur utama syarikat itu. Kenjiro Den, Rokuro Auyama dan Meitaro Takeuchi.

Dalam tahun 1931, nama Datson digunakan, yang bermakna "anak kepada DAT".

Apabila kumpulan perniagaan besar Nissan Group mengambil alih syarikat DAT Motors dalam tahun 1933, nama Datson ditukar kepada Datsun kerana "son" bermaksud "merugikan" dalam bahasa Jepun.

Nama Nissan Motor Co Ltd mula digunakan dalam tahun 1934 selepas ia mengambil alih kesemua saham syarikat asal.

Dalam tahun 1986 pula, Nissan mula membuang jenama Datsun dan menggunakan nama Nissan tetapi Datsun muncul kembali dalam bulan Jun 2013 untuk kenderaan-kenderaan mampu milik mereka di negara-negara membangun, seperti di India, Indonesia, Nepal dan Sri Lanka.

 

 

Mazda - bermula dari membuat gabus yang bankrap

Syarikat ini bermula dalam tahun 1920 sebagai Toyo Cork Kogyo Co Ltd, penghasil gabus. Sayangnya pada penghujung tahun 1920-an, ia diselamatkan dari bankrap oleh Hiroshima Saving Bank dan beberapa syarikat perniagaan lain di bandar itu.

Dalam tahun 1931, Toyo Kogyo menghasilkan kenderaan pertama mereka, Mazda-Go, sebuah trak tiga roda.

Nama Mazda itu dicipta oleh Jujiro Matsuda, presiden kedua dan antara pengasas syarikat Toyo Kogyo. Ia berasal dari perkataan Ahura Mazda, tuhan harmoni.

Sehingga ke hari ini Mazda masih sebuah syarikat yang kecil tetapi mempunyai kepakaran dalam mengahsilkan teknologi-teknologi menarik seperti sistem SkyActiv.

 

 

Mitsubishi Motors- model pertama adalah rebadged Fiat!

Kenderaan pertama dengan jenama Mitsubishi dihasilkan oleh Mitsubishi Shipbuilding Co Ltd dalam tahun 1917.

Mitsubishi A, sebuah sedan tujuh tempat duduk itu dibina dengan tangan dan berdasarkan Fiat Tipo 3. 

Selepas 22 unit terbina, ia diberhentikan dari pengeluaran dalam tahun 1921 selepas terbukti kos pembinaannya terlalu mahal.

Dalam tahun 1934, Mitsubishi Shipbuilding bergabung dengan Mitsubishi Aircraft Co dan menjadi Mitsubishi Heavy Industries. 

Tahun 1937, ia menghasilkan prototaip PX33, sebuah sedan untuk kegunaan tentera dan juga kereta pertama buatan Jepun menggunakan sistem 4X4 sepenuh masa.

Jadi sekarang kita faham kenapa Pajero itu menjadi legend dan Triton itu mempunyai pengendalian yang mantap bukan?  

 

 

Isuzu - syarikat CKD pertama Jepun

Seperti Mitsubishi, Isuzu Motors bermula dari sebuah syarikat perkapalan - Tokyo Ishikawajima Shipbuilding and Engineering Co Ltd.

Dalam tahun 1916 syarikat itu bersama dengan Tokyo Gas and Electrical Co membuat satu kerjasama untuk menghasilkan kenderaan. 

Dua tahun selepas itu, ia menerima hak untuk memasang dan menjual kenderaan jenama Wolseley dari Britain untuk pasaran Asia Timur.

Tahun 1922, ia mula menghasilkan model Wolseley secara rasmi di Jepun dan dua tahun kemudian, trak CP dihasilkan.

Dalam tahun 1933, Ishikawajima Automotive Works bergabung dengan DAT Automobile Manufacturing Inc (syarikat asal Nissan) dan dalam tahun 1934, ia mula menggunakan nama Isuzu, sempena nama Sungai Isuzu.

 

 

Subaru - dari pengeluar kapal terbang!

Bermula seawal tahun 1915 sebagai sebuah pusat penyelidikan kapal terbang, ia kemudian ditukar kepada Nakajima Aircraft Company dalam tahun 1932 oleh ketuanya, Chikuhei Nakajima.

Selepas Perang Dunia Kedua, ia bertukar menjadi Fuji Sangyo Co Ltd dan dalam tahun 1946, kenderaan darat pertama telah dihasilkan, skuter Fuji Rabbit menggunakan alat ganti dari kapal terbang perang.

Fuji Sangyo dipecahkan kepada 12 syarikat dalam tahun 1950 dan kemudiannya lima dari syarikat itu bergabung semula menjadi Fuji Heavy Industries (FHI).

Syarikat-syarikat itu adalah Fuji Kogyo, pembuat skuter, Fuji Jidosha, pembuat badan kereta, Omiya Fuji Kogyo, pembuat enjin, Utsonomiya Sharyo, pembuat kerangka kenderaan dan Tokyo Fuji Sangyo, syarikat perdagangan/jual beli.

Dalam tahun 1950-an, CEO FHI ketika itu, Kenji Kita mahukan syarikat itu membabitkan diri dalam pembuatan kenderaan dan prototaip pertama diberi nama kod P-1.

Kereta pertama yang dihasilkan ialah Subaru 1500 dan hanya 20 sahaja dihasilkan kerana masalah bekalan komponen.

Nama Subaru itu diberikan oleh Kenji, dan ia adalah nama gugusan bintang Pleiades yang mempunyai enam bintang.

Jadi sekarang anda sudah tahu dari mana datangnya bintang dalam logo lama Subaru!

Berita Berkenaan

Informasi
Diantara barisan model motosikal mereka, terdapat satu divisi dimana divisi model ini lah yang…
Informasi
    Dianggarkan satu bilion pengguna mempercayai jenama Continental setiap hari! Continental…
Berita Global
Apa yang anda lihat di dalam artikel ini merupakan sebuah Countach LP 400 S tahun 1979 yang…