Sejarah Momo bermula dari stereng

oleh HEZERI SAMSURI|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Siapa tak kenal Momo.

Ia adalah jenama aksesori premium kenderaan yang popular di seluruh dunia. 

Memang di Malaysia, Momo tiruan lebih mudah dicari dari yang tulen. Namun begitu, untuk mereka yang pernah menggunakan barangan asli Momo, kualitinya yang baik menjanjikan penggunaan yang selesa dan tahan lama.

Momo juga pernah digunakan pada model-model istimewa Proton dahulu.

 

 

Syarikat dari Itali itu bermula dalam tahun 1964 bila seorang pelumba kereta, Gianpiero Moretti menempah sebuah stereng kustom untuk kereta lumbanya.

Stereng itu lebih mencengkam dan lebih sedap digenggam dari stereng-stereng kereta yang biasa dan pemandu-pemandu dari pasukan lain segera mahukan stereng tersebut.

Stereng Moretti menjdi popular di kalangan pelumba di negara hinggakan pemandu Formula 1 zaman itu, John Surtees mahukan sebuah untuk kereta lumbanya.

Surtees menang kejuaraan Formula 1 dalam tahun 1964 dengan menggunakan stereng Moretti.

 

 

Moretti terus menubuhkan sebuah syarikat pengilangan dan Momo (singkatan untuk Moretti Monza) bermula secara rasmi.

Dalam tahun 70-an, Momo mula mengembangkan sayapnya keluar dari arena perlumbaan dan mencipta produk-produk baharu.

Ia memulakan pengeluaran roda aloi dan stereng untuk kereta-kereta biasa, baik dari pasaran "aftermarket" ataupun sebagai pembekal rasmi syarikat automotif.

 

 

Momo mula menjadi pembekal kelengkapan untuk Ferrari dan pada penghujung 1980-an, Momo membekalkan komponen asli untuk Rolls Royce.

Ini diikuti oleh Aston Martin, Citroen, Daihatsu, Fiat, Honda, Isuzu, Mazda, Mitsubishi, Nissan, Opel, Porsche, Peugeot, Renault, Saab, Subaru, Suzuki, Toyota, Volkswagen dan Volvo.

Walaupun sibuk dengan perniagaan, Momo masih memberikan fokus pada perlumbaan. Hasilnya, Pasukan Brabham memenangi Formula 1 dalamtahun 1983 dengan menggunakan roda aloi Momo.

 

 

Malah, pelumba-pelumba seperti Mario Andretti, Aryton Senna. Nigel Mansell, Nelson Piquet, Michale Alboreto, Michael Schumacher, Niki Lauda, Jackie Stewart, Clay Regazonni semuanya pernah menggunakan stereng Momo di dalam jentera lumba mereka.

 

momo jam

 

Tahun 1981, Momo Design diwujudkan dan ia menghasilkan produk-prooduk gaya hidup seperti jam tangan, baju kemeja  dan sebagainya. Malah Momo Design ialah jenama pertama yang menggunakan bahan-bahan komposit seperti di dalam kereta lumba untuk jam tangan mereka.

Dalam tahun 1993 pula, Momo Corse diperkenalkan dan ia khusus untuk menghasilkan pakaian-pakaian kalis api untuk pemandu dan mekanik/krew pasukan.

 

 

Pada tahun 1995, Gianpiero Moretti menjual Momo kepada Breed Technologies, sebuah syarikat dari Amerika Syarikat yang juga menjadi pembekal utama global dalam penghasilan beg udara dan stereng.

Breed Technologies kemudiannya dibeli oleh Carlyle Management dan ia menggabungkan Breed dan Momo beserta beberapa syarikat lain yang aktif di dalam sektor automotif untuk menghasilkan Key Safety Systems (KSS), sebuah konglomerat yang memberi penumpuan dalam pembekalan OEM automotif.

Akhirnya, Momo dibeli oleh sekumpulan pelabur yang mempunyai minat akan jenama dan sejarahnya serta mahukan Momo kembali kepada fokus asalnya - menghasilkan barangan premium untuk kenderaan.

 

 

Momo menukarkan konsep logo syarikat itu dalam tahun 2003 dengan menggunakan warna kuning untuk tulisan MOMO bersama garisan luar warna hitam.

Di bawahnya tertulis perkataan "Italy" untuk memberi penekanan akan sejarah jenama tersebut.

 

 

Sejak tahun 2005, Momo mempunyai ibupejabat di Milan dan dengan satu cawangan di US.

Ia menjual produk-produk di bawah jenama Momo dan Momo Corse dan walaupun Momo sebenarnya masih mempunyai fokus utama dalam penghasilan roda aloi kenderaan, produk-produk perlumbaan lain turut diadakan.

Gianpiero Moretti meninggal dunia pada 14 Januari 2012 ketika berumur 71 tahun di rumahnya di Milan.