Sejarah Kijang - hero MPV Indonesia

oleh HEZERI SAMSURI|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Umum mengetahui negara Indonesia mempunyai sejarah automotif mereka yang unik.

Mereka tidak mempunyai syarikat automotif nasional, tetapi syarikat asing datang dan membina model-model khusus untuk pasaran Indonesia dan produk tempatan/Jepun paling terkenal di sana ialah Kijang.

Bukan, nama Kijang itu bukan bermakna ia seperti Perodua yang gemarkan alam fauna tetapi Kijang bermaksud Kerjasama Indonesia Jepang. 

Walaupun projek itu diletakkan di bawah syarikat Toyota, banyak tenaga dan komponen tempatan digunakan dalam pembuatan Kijang.

 

 

Kijang Generasi Pertama dihasilkan dalam tahun 1975 (prototaip, model jualan bermula pada tahun 1977) dan ia lebih kepada sebuah trak pikap. Model KF10 ini menggunakan enjin siri 3K dengan 1,166cc dan transmisi manual 4-kelajuan sementara badannya kemudian diubah di belakang menjadi MPV untuk mengangkut penumpang. 

Kijang ini juga digelar Kijang Buaya kerana penutup enjin itu bila dibuka kelihatan seperti mulut buaya. Sebanyak 26,806 unit dijual. 

Kijang ini juga mempunyai kembarnya, Toyota Tamaraw di Filipina. Tamaraw ialah binatang yang menyerupai kerbau tetapi lebih berbulu dan ia hampir pupus sekarang.

 

 

Kijang Generasi Kedua, KF20/KF30 (1981-1986) lebih moden dengan enjin 4K (1,290cc) dan 5K (1,486 cc) dengan badan pikap dan juga MPV. 

Perubahan ketara ialah lampu empat segi dan engsel-engsel pintu sudah disimpan ke dalam.

Transmisi kekal 4-kelajuan manual. Varian F20 dengan enjin 1.3L itu dijual sehingga digantikan dengan F30 dengan enjin 1.5L. 

Pada bulan Februari 1985, unit Kijang ke 100,000 dihasilkan.

Kijang generasi kedua ini terkenal dengan nama gelaran Kijang Doyok. Ini kerana bahagian depan Kijang itu disamakan dengan bibir dan gigi karektor kartun Doyok dari akhbar Pos Kota.

 

 

Kijang Generasi Ketiga (KF40 dan KF50; 1987-1996) masih lagi berkonsepkan yang sama, badan pikap atau MPV dengan enjin 5K 1.5L dan selepas itu enjin 7K-C OHV 1.8L. 

Saiz sudah semakin besar dan untuk MPV, lebih lengkap dengan pintu belakang seperti pintu kereta.

Generasi ini juga melihat tambahan varian, antara yang menarik ialah Kijang Rover yang memiliki badan yang lebih besar. Pintu belakangnya mirip kepada bentuk Isuzu Trooper.

 

 

Kijang Jantan pula memberikan ruang barang yang lebih luas dan aksesori lebih mewah seperti varian Rover.

Transmisi automatik 4-kelajuan pertama kali diperkenalkan dalam tahun 1995 sebagai kelengkapan opsyenal.

Kijang generasi ketiga mempunyai kembarnya di Filipina (Tamaraw FX), India (Toyota Qualis) dan Toyota Venture di Afrika Selatan. 

 

 

Kijang Generasi Keempat (1997 - 2004) lebih dikenali di kalangan kita warga Malaysia sebagai Toyota Unser dan memulakan cinta kita dengan MPV serba lasak dan mampu milik jenama itu.

Ia menggunakan enjin 7K-E 1.8L dan juga enjin 1RZ-E 2.0L, tetapi model dengan enjin lebih kecil itu lebih popular kerana lebih mampu milik.

Dibina di atas platform trak pikap Toyota Hilux generasi keenam, Kijang di Indonesia mengalami tiga perubahan besar selama hidupnya.

Ia juga akhirnya mempunyai enjin 2.4L diesel, tetapi tidak diperkenalkan di Malaysia.

Untuk pasaran Malaysia, Unser diperkenalkan dalam tahun 1998 sehingga 2005 menggunakan enjin 1.8L 7K-E dengan pilihan transmisi manual atau automatik.

Ia lasak dan sangat popular sehingga kini. Varian "facelift" Unser (gambar bawah) nyata nampak lebih moden dan lebih sesuai dengan pasaran tempatan.

 

 

Model Kijang secara rasmi tamat selepas generasi keempat ini dan digantikan dengan model Innova dengan nama kod AN40 (2004-2015) dan generasi kedua Innova AN140

Namun begitu, Indonesia masih menggunakan nama Kijang Innova. 

Apapun namanya, Toyota Innova memang bermula dari pakatan Indonesia dan Jepun dan apa yang dipelajari   telah berjaya menghasilkan sebuah produk global yang sangat popular. 

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Panggilan semula produk dilakukan oleh pihak pengeluar apabila terdapat penemuan isu keselamatan…
Berita Global
Tahun ini, selain dari menjadi pentas persaingan antara jenama-jenama China yang mengusung model-…
Berita Global
  2023 merupakan tahun mencabar yang menyaksikan pemberian paten menurun tiga peratus merentasi…