SEDC Energy lancar stesen minyak bersepadu di Daro, Mukah

oleh Mohamad Hanif|
SEDC Energy Sdn Bhd baru-baru ini melancarkan pembukaan stesen minyak bersepadu di daerah Daro, Mukah.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Stesen itu yang dirasmikan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg semalam (19 Mac).

Ia merupakan stesen mengisi minyak pelbagai bahan api kedua SEDC Energy selepas pembukaan stesen utamanya di Darul Hana di Kuching tahun lepas.

Stesen di Daro itu adalah stesen pelbagai bahan api Dealer Owned, Dealer Operated (DODO) (stesen dimiliki dan diusahakan peniaga) yang pertama seumpamanya di landskap bandar Sarawak, kata syarikat tersebut dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut SEDC Energy, stesen itu juga merupakan langkah pertamanya untuk mengembangkan rangkaian menerusi pengambilan peniaga yang berminat mengusahakan stesen mengisi minyak pelbagai bahan api DODO di seluruh Sarawak, termasuk di kawasan luar bandar.

“Ini sejajar dengan aspirasi kerajaan Sarawak untuk meningkatkan taraf hidup dan memenuhi keperluan rakyat,” katanya.

Pada masa depan, syarikat itu merancang untuk membuka lebih banyak stesen mengisi minyak pelbagai bahan api di seluruh Sarawak, menawarkan bukan hanya bahan api fosil konvensional tetapi juga kemudahan mengecas kenderaan elektrik (EV) sebagai sebahagian daripada tumpuannya kepada kelestarian alam sekitar dan pengangkutan.

Stesen pelbagai bahan api yang dibuka di sepanjang lebuh raya Pan Borneo dan kawasan strategik akan dilengkapi dengan dispenser mengisi bahan api hidrogen bagi menampung keperluan kenderaan elektrik sel bahan api hidrogen (FCEV), selain daripada bahan api konvensional dan pengecas EV,” katanya.

Sumber: Bernama