Sedan Volkswagen Jetta 2022 dilancarkan di Amerika Syarikat

oleh Mohamad Hanif|
Salah satu model yang tidak lagi dijual oleh Volkswagen Passenger Car Malaysia adalah sedan Jetta, di mana pasaran luar masih lagi menerima penawaran Jetta generasi baharu yang dilancarkan pada tahun 2018.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Meskipun di pasaran Amerika pasaran sedan semakin menguncup, ditambah pula dengan penamatan model Passat pada bulan lalu, ia tidak menghalang Volkswagen Amerika untuk terus mengemaskini penawaran sedan Jetta untuk tahun 2022.

Antara perubahan besar yang terdapat pada sedan ini adalah enjin baharu EA211 berkapasiti 1.5 liter yang menghasilkan 158 kuasa kuda dan 249 Nm.

 


Enjin baharu ini pertama kali diperlihatkan menerusi model SUV Taos, di mana ia memiliki nisbah mampatan yag lebih tinggi, silinder salutan plasma bagi mengurangkan kesan geseran, serta geometri turbin berubah bagi unit turbo bertujuan untuk meningkatkan kecekapan enjin.

Nadi EA211 ini dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan atau automatik lapan kelajuan dengan pecutan 0-96 km/j mengambil masa kurang lapan saat.

 


Sementara varian Jetta GLI pula mengekalkan enjin EA888 2.0 liter yang menghasilkan 228 kuasa kuda dan 349 Nm, dipadankan dengan pilihan transmisi manual enam kelajuan atau klac berkembar tujuh nisbah kelajuan.

Antara kemasan baharu yang terdapat pada model Jetta 2022 termasuklah rekaan bampar baharu depan dan belakang, rekaan gril dengan bar krom, serta tambahan aksen merah dan jeriji rekaan sarang lebah untuk model Jetta GLI untuk penampilan yang lebih sporti.

Tidak ketinggalan, varian GLI turut mendapat sistem ekzos dua saluran keluar untuk runut bunyi yang lebih baik, dakwa VW.

 


Terdapat sebuah lagi trim iaitu Jetta Sport 2022 yang menggantikan peranan trim R-Line di mana ia mengekalkan enjin EA211 namun dengan pakej penggayaan seperti kemasan hitam pada gril, cermin sisi, rim bersaiz 17 inci dark graphite, serta sistem differential elektronik XDS.

Secara standard, Volkswagen memasang kluster instrumen digital bersaiz lapan inci untuk Jetta model tahun 2022, sementara model GLI pula hadir dengan skrin bersaiz 10 inci, selain perisian infohibur terkini, slot pengecasan nirwayar, sokongan sambungan kepada peranti pintar, serta tempat duduk dengan ciri pemanas depan dan belakang dan ciri ventilasi untuk tempat duduk hadapan.

Selain itu, tempat duduk didatangkan dengan balutan fabrik, manakala trim Jetta Sport pula ditawarkan dengan tempat duduk sport, juga dengan balutan fabrik, serta opsyen upholsteri leatherette dan kulit yang tersedia dalam warna dua tona hitam dan perang.

 


Varian GLI pula mendapat kemasan jahitan merah, roda stereng balutan kulit dengan fungsi sentuhan beriluminasi.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, walaupun pasaran sedan di Amerika semakin menguncup, Jetta masih kekal menjadi salah satu model yang akan terus ditawarkan oleh Volkswagen, dengan prestasi jualan meningkat 5 peratus berbanding tahun lalu.

 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Daripada jumlah tersebut, Proton Saga masih lagi kekal sebagai model Proton yang paling laris…
Berita Global
Untuk itu, divisyen R3 Motorsports yang kini berada dibawah naungan Proton Global Services (PGS)…
Berita Global
Model segmen C Skoda ini masih lagi mengekalkan bentuk badan sedan (Limo) dan wagon (Combi) untuk…