Jika sebelum ini Lotus sudah memperlihatkan kereta hiper Evija dan SUV elektrik Eletre, model seterusnya yang bakal dilancarkan ialah Type 133 - sebuah sedan empat pintu juga berkuasa elektrik.
Berdasarkan gambar yang diperoleh daripada AutoExpress, sedan elektrik terbaharu Lotus itu dilihat masih lagi sarat dengan pelekat samaran.

Namun yang pasti, ada elemen-elemen kekeluargaan Lotus yang dibawakan pada Type 133 seperti struktur jeriji aktif berbentuk kelopak tiga segi, serta rekaan lampu utama terpisah di mana unit pencahayaan atas merupakan lampu nyalaan siang LED sementara unit di bawah merupakan lampu utama.
Sama seperti Eletre, Type 133 turut menampilkan pemegang pintu yang tertanam kemas, serta modul penderia LIDAR yang dipasangkan pada bahagian bumbung yang akan digunakan oleh sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) dan ciri swapandu Tahap 4.

Selain itu, bahagian belakang sedan ini turut mempunyai sistem spoiler aktif.
Untuk ruang kabin, sedan elektrik ini dijangka membawakan susun atur yang hampir serupa dengan SUV Eletre, seperti skrin tengah dengan sistem operasi Lotus Hyper OS, namun ia hanya mampu memuatkan sehingga empat orang sahaja pada satu-satu masa.
Butiran spesifikasi trenkuasa juga masih lagi belum diketahui, dan berkemungkinan besar ia akan membawakan versi motor elektrik tunggal berkuasa 603 hp, serta versi R dengan dua motor elektrik berkuasa 905 hp, 985 Nm.

Sedan Lotus ini dijangka akan bersaing dengan model sedan elektrik lain seperti Porsche Taycan dan Polestar 5 apabila ia muncul kelak.
Sumber: AutoExpress