Sedan AWD - 'trump card' melawan dominasi trak pikap, SUV

oleh Mohamad Hanif|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Tidak dapat dinafikan, penjualan sedan tradisional di pasaran Amerika Syarikat kian merudum di saat peningkatan jualan kenderaan yang lebih praktikal seperti trak pikap dan SUV. 

Namun, ini tidak bermakna pengeluar akan terus mendiamkan diri terhadap pasaran sedan tersebut. 

Menurut laporan daripada The Detroit News, sejak kebelakangan ini terdapat peningkatan bilangan sedan yang dilengkapi dengan ciri pacuan semua roda (AWD) termasuklah Nissan Altima, Mazda6, dan juga Toyota Prius. 

Disebabkan SUV dan trak pikap lebih sinonim dengan sistem AWD, pengguna di sana sudah terbiasa dengan ciri tersebut dan lama kelamaan melupakan pilihan sedan yang ada di pasaran. 

Tambahan pula, sistem pacuan semua roda akan menyebabkan penggunaan bahan api meningkat kerana peningkatan berat dan rekaan yang begitu kompleks untuk sebuah sedan. 
 

sumber: Subaru

Namun, pihak pengeluar automotif percaya, dengan adanya ciri AWD ia mampu memberikan satu alternatif kepada mereka yang mahukan lebih pengendalian terhadap kenderaan, terutama di kawasan beriklim sejuk dan bersalji. 

Apatah lagi sistem pacuan dan transmisi masa kini sudah tersedia maju dan lebih berkesan selain mampu memberikan penjimatan bahan api yang lebih baik. 

Mengambil contoh Nissan Altima yang diperkenalkan tahun lalu, Nissan telah menambah ciri AWD pada sedan tersebut dan percaya atau tidak, lebih separuh permintaan di Northeast terdiri daripada mereka yang mahukan pacuan semua roda!

Jadi, ciri AWD merupakan langkah yang perlu diambil dalam memastikan penguasaan penjualan sedan di dalam pasaran yang tidak menentum dan sesetengah pengeluar seperti Ford, BMW, Acura, Infiniti, dan Lexus juga telah mengambil langkah yang serupa. 

Mazda juga telah membuat penawaran yang serupa untuk model-model sedan terkini mereka, Mazda3 dan Mazda6.
 

 

Sumber: The Detroit News, Motor1