Untuk varian asas, ia didatangkan dengan enjin 1.5 liter i-VTEC (121 PS/145 Nm), sementara dua varian pertengahan pula ditawarkan dengan enjin 1.5 liter turbo (181 PS/240 Nm).
Varian tertinggi RS pula dilengkapi dengan trenkuasa hibrid e:HEV yang mampu menjana kuasa setinggi 131 PS dan 253 Nm.

Dalam satu sesi temubual yang diadakan baru-baru ini, Ketua Projek Honda HR-V Yoshitomo Ihashi berkata ketiga-tiga enjin tersebut bukanlah dibangunkan khas untuk pasaran Malaysia semata-mata, dan penawaran semua enjin tersebut tidaklah sukar untuk dilaksanakan.
Bergantung kepada strategi pemasaran yang diamalkan, tidak semua negara mendapat penawaran ketiga-tiga enjin yang sama seperti yang dibuat oleh Honda Malaysia.
Seperti contoh, Honda Thailand hanya menawarkan versi hibrid e:HEV RS, manakala pasaran negara jiran Indonesia dan Filipina pula hanya mendapat dua enjin 1.5 liter NA dan 1.5 liter turbo sahaja.
Berbanding di Jepun, Honda HR-V generasi baharu hanya boleh didapati dalam varian 1.5 liter NA dan varian 1.5 liter RS e:HEV sahaja.

Jadi mengikut strategi pemasaran berbeza yang diamalkan oleh Honda Malaysia, mereka mahukan Honda HR-V generasi baharu dengan tiga enjin yang berbeza ini mampu menjangkaui lebih ramai golongan pelanggan sasaran, serta memenuhi permintaan pasaran sedia ada.
Mungkin anda lihat, tetapan enjin dan CVT yang sama digunakan pada HR-V boleh didapati pada model-model Honda yang lain, seperti contoh varian 1.5L S menggunakan transmisi CVT yang sama dengan model City Hatchback, sementara HR-V 1.5T pula menggunakan transmisi CVT yang sama seperti model CR-V.
Namun, menurut Honda Malaysia mereka telah menala kembali nisbah kotak gear CVT, diikuti dengan ECU bagi enjin 1.5 liter NA dan 1.5 liter VTEC Turbo untuk menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih baik.
Baca: Honda HR-V 2022