SCRUT perkenal perkhidmatan laporan keadaan kenderaan recond dari Jepun

oleh HEZERI SAMSURI|
Satu masalah pengguna yang sering diabaikan oleh kerajaan dan juga industri sendiri ialah laporan sebenar keadaan kenderaan import terpakai atau recond.

Untuk pembeli kenderaan recond, cara untuk mendapatkan laporan keadaan berkaitan kenderaan itu sukar untuk didapatkan dan hanya boleh dilakukan di Jepun, oleh agensi-agensi pembida.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Selalunya pembeli terpaksa percaya kepada jurujual, dan jurujual sendiri mengaku jumlah perbatuan yang ada pada kenderaan-kenderaan recond ini tidak begitu tepat.

Ifcon Technology Sdn Bhd, sebuah syarikat bumiputra tampil dengan perkhidmatan online SCRUT yang membenarkan orang ramai mendapat laporan asal dari Auction Japan berkaitan kenderaan terpakai yang dieksport keluar dari negara Jepun.

 

 

SCRUT datang dari perkataan "scrutiny", yang bermaksud kajian terperinci.

Auction Japan pula ialah syarikat yang mengendalikan proses bidaan kenderaan terpakai Jepun dan ia memang menghasilkan laporan keadaan fikizal kenderaan sebelum ianya dibida. 

Laporan kenderaan seperti Puspakom itu hanya mampu diakses oleh syarikat pembida berdaftar ketika sesi bidaan sahaja.

Laporan itu juga akan membantu klasifikasi tak rasmi kenderaan terpakai itu mengikut gred kesempurnaan - dari Gred A sehingga Gred E.

 

 

Masalah mula timbul apabila di Malaysia, pembeli tidak tahu status gred kenderaan secara rasmi dan tidak adil jika kenderaan Gred E dijual mengikut harga kenderaan Gred A.

Laporan yang dihasilkan oleh Auction Japan sangat lengkap - dari kedudukan calar pada badan kenderaan, dan keadaan kemalangan yang pernah berlaku pada kenderaan tersebut. 

 

 

Dari apa yang kami lihat, di bawah ialah antara informasi yang akan anda terima berkaitan kenderaan recond Jepun yang diperiksa:

  • Bulan dan tahun pendaftaran
  • Nombor model dan varian
  • Jarak perbatuan ketika dijual
  • Pernah terbabit di dalam kemalangan atau tidak
  • Jenis kemalangan (terbalik, terguling dan sebagainya)
  • Enjin boleh dihidupkan atau tidak
  • Tombol gear boleh digerakkan atau tidak
  • Jenis kerosakan luaran akibat kemalangan
  • Beg udara yang sudah meletup dan perlu diganti
  • Puluhan gambar kenderaan 
  • Tempat terakhir kenderaan diservis

 

 

Untuk rakyat Malaysia yang mahu membeli laporan keadaan kenderaan terpakai Jepun ini, anda cuma perlu ke laman web SCRUT.my dan daftarkan diri anda.

Setiap laporan berharga 50 kredit dan kredit boleh dibeli menggunakan kad kredit atau debit (1 kredit bersamaan dengan RM1).

Masukkan nombor chasis kenderaan anda dan laporan akan dihantar melalu email kepada anda dalam tempoh 24 jam.

Versi SCRUT dalam bentuk aplikasi mobil untuk telefon pintar akan dilancarkan dalam masa terdekat ini.

 

 

Ifcon Technology percaya perkhidmatan ini akan mampu membantu industri recond negara untuk menjual kenderaan-kenderaan yang lebih bermutu tinggi dengan harga yang berpadanan.

Dari segi pengguna, mereka akan mendapat nilai yang setimpal dengan harga yang dibayar.

Bagi mereka yang sudah mempunyai kenderaan recond dan mahu tanya keadaan kenderaan anda semasa di Jepun, anda juga boleh memasukan nombor chasis anda. 

Hanya kenderaan yang dibeli dari "auction house" di Jepun sahaja yang akan ada rekod ini. Bagi syarikat recond tempatan yang membeli kenderaan mereka dari syarikat pengedar sendiri, rekod ini tidak dapat diperolehi.

Apapun, sistem ini masih dapat membantu ramai pengguna yang mahu membeli kenderaan recond di Malaysia.

Syabas kepada Ifcon Technology kerana memberikan lebih kuasa kepada pengguna!