SCRUT - Ada sebab dia samseng!

oleh HEZERI SAMSURI|
Scrut, syarikat yang memberikan laporan keadaan kenderaan "recond" yang sering menjadi sensasi kerana kenyataan-kenyataan keras mereka sebenarnya mempunyai sebab sendiri kerana mereka memilih jalan itu.

Careta turun padang untuk berjumpa dengan pengasas perkhidmatan tersebut, Ahmad Aliff A S Ahmad Shariffuddin dan Nik Muhammad Izwan Nik Mohd Kamel.
Modenas

Menurut Aliff, 34, Pengarah Urusan Ifcon Technology dan juga bekas pelajar MRSM Batu Pahat, Scrut hanyalah salah satu dari produk syarikatnya.

Syarikat penuh milik bumiputra muda ini menghasilkan beberapa aplikasi atas talian dan juga laman web yang berinformasi seperti coin.my, ifmal.com, interepo.com dan idsb.my.

Selain dari itu, Ifcon Tecnology menjadi kontraktor kepada pelbagai syarikat swasta dan agensi kerajaan dalam penghasilan aplikasi-aplikasi khusus untuk pelbagai industri. 

"Ada sebab kenapa Scrut itu kami gunakan pendekatan yang agresif," terang Nik Izwan, 33, Pengarah Teknikal Ifcon Technology yang berasal dari Kuala Lumpur dan memiliki sarjana dari UK.

"Scrut tercetus dalam salah satu projek "Godam Sahur" kami tahun lepas. Kami bekerja menghasilkan aplikasi-aplikasi dan antaranya ialah Scrut.

 

scrut founders
Nik Irzwan (kiri) dan Aliff di bengkel Scrut Auto yang bakal dilancarkan kelak.

 

Ia bermula bila sebuah syarikat mahu kami membangunkan sebuah aplikasi di mana pembeli di Malaysia boleh memilih kenderaan-kenderaan terpakai dari pusat bidaan atau auction house di Jepun secara terus," Nik Izwan berkata.

Mereka memang ke Jepun untuk melihat proses kenderaan dibida dan dalam masa yang sama, mereka turut menerima sijil kondisi kenderaan yang dilelong.

"Kami berusaha untuk mendapatkan hak bagi membeli sijil-sijil tersebut dan kami hasilkan Scrut," tambah Aliff.

Rakan mereka, Datok Haniff Borhan ketika itu menghubungi Careta untuk memberikan publisiti kepada Scrut.

"Pada masa itu, Scrut memang betul-betul baharu siap," sambung Aliff lagi.

Perkhidmatan Scrut nyata mendapat sambutan dari pembeli-pembeli kenderaan recond. Sudah lebih dari 20,000 pengguna yang mendapatkan perkhidmatan Scrut sekarang.

Scrut juga mampu memberikan sejarah keadaan kenderaan ketika dibida dari negara UK.

 

 

"Sebenarnya, semua laporan kenderaan dibida di UK kami boleh perolehi dan lebih kurang 80 peratus dari Jepun. Ini ialah kerana di Jepun, ada sebilangan kecil yang menjual kenderaan mereka terus ke kedai-kedai," terang Nik Izwan.

"Namun begitu, operasi Scrut pada awalnya tidak begitu mudah. Selepas seminggu publisiti meluas berkaitan Scrut, kami mula menerima ugutan-ugutan dari pihak-pihak berkaitan dalam industri recond," Aliff pula berkata.

Ada juga syarikat pemilik AP yang mahu bergabung dan menjalinkan kolaborasi bersama Scrut, tetapi Aliff dan Nik Izwan sepakat berkata Scrut perlu kekal bebas dari sebarang hubungan dengan mana-mana pengimport atau pengedar kenderaan recond.

"Kami mahu neutral kerana dengan itu, nilai Scrut lebih kukuh," ujar Nik Izwan.

Ternyata, walaupun Scrut mengeluarkan kenyataan-kenyataan keras, ia mempunyai fakta dan bukti berkaitan apa yang dicanangkan oleh pengimport-pengimport AP.

 

 

Careta sendiri tidak banyak mempromosikan kenderaan recond (hanya dua syarikat sahaja yang pernah mengiklankan kenderaan recond mereka bersama Careta) dan nampaknya, walaupun ia dipercayai, ternyata ada juga kenderaan-kenderaan yang tidak begitu "berkualiti" diimport masuk.

Aliff yang melanjutkan pendidikannya di Australia itu menunjukan laporan dari salah satu pengimport terkemuka kenderaan recond negara dan kami dapati dari 20 unit kenderaan recond yang dijual:

  • 18 unit tidak menurut perbatuan sebenar semasa dilelong di negara asal
  • Enam unit kenderaan di bawah gred 4 (dikirakan gred A)
  • Empat unit kenderaan bergred R (Repaired atau Dibaiki)

Ini membuktikan apa yang telah disangsikan oleh kami dari awal lagi, penjagaan kualiti tanpa apa-apa kawalan dari kerajaan hanya akan merugikan pihak konsumer.

Kenderaan recond ialah kenderaan yang terpakai dan ia memang dibenarkan di kebanyakan negara, termasuk negara maju seperti Singapura dan juga di Eropah dan di US. 

Namun begitu, kawalan dari segi kualti dan juga cukai sangat ketat di sana kerana jika tidak, ia hanya membunuh pelabur-pelabur sebenar di dalam industri automotif domestik.

 

 

Masalah akan semakin rumit jika objektif sebuah kerajaan itu hanya untuk mengaut keuntungan. Bila ini berlaku, kepentingan konsumer akan "dilupakan".

Sehingga kini, Malaysia yang mendabik dada mengatakan ia mempunyai syarikat kenderaan nasional sendiri masih tidak mempunyai undang-undang automotif seperti Akta Panggil Semula (Recall Law) dan Akta Lemon (Lemon Law). 

Ini ternyata mengecewakan kerana pembeli yang bermasalah tidak mempunyai banyak pilihan atau ruang untuk mengadu. 

Tribunal Pengguna juga mempunyai limitasi yang sangat terhad. Menurut Nik Izwan, Tribunal Pengguna tidak begitu membantu dalam masalah kenderaan recond.

"Ini ialah kerana pihak kerajaan hanya mengiktirafkan satu pihak swasta sahaja dalam bidang pemeriksaan kenderaan, dan ia tidak menawarkan perkhidmatan apa yang diberikan oleh Scrut," ujarnya.

 

 

Dalam erti kata lain, jika kerajaan sendiri tidak mengendahkan fakta di mana nilai perbatuan kenderaan terpakai diubah sewenang-wenangnya, ia bermakna kepentingan konsumer terletak di lubuk yang lebih dalam dari Mariana Trench sedalam hampir 11 km di bawah paras laut itu.

"Industri kenderaan recond ini sudah lama, dan apa tindakan yang mengganggu rentaknya akan menerima tentangan. Jika kami tak samseng, kami memang akan ditanam," terang Aliff.

"Perbuatan saman menyaman juga bukan benda baharu untuk kami. Kami memang sudah bersedia dan kami memang sudah terbukti ada fakta dan segalanya," tambah ayah kepada dua orang anak itu.

"Tetapi jika pengguna Scrut merasakan ia tertipu, kami ada sediakan nasihat dari pihak peguam kami," katanya (pautan kepada senarai apa perlu dilakukan ada di bawah artikel ini).

Nik Izwan pula menambah, Scrut hanya permulaan dalam strategi Ifcon Technology dalam membantu memperkasakan pihak pembeli.

 

 

"Scrut adalah satu nama yang sudah dipercayai. Oleh kerana itu, kami akan melancarkan pusat pemeriksaan kenderaan kami sendiri di mana kenderaan recond atau terpakai yang hendak dijual atau sesiapa yang hendak membeli kenderaan recond boleh menghantarnya ke Scrut Auto di Jalan Ampang.

Pemeriksaan 172 point akan dilakukan oleh mekanik-mekanik berpengalaman kami dan untuk kenderaan recond, sijil kualiti kenderaan semasa dibida turut akan disertakan," ujar Nik Izwan.

Ifcon Technology juga dalam proses untuk melancarkan aplikasi atas talian terbaharu khusus untuk pemilik-pemilik bengkel dari segala peringkat.

"Aplikasi Sepana.net ini ialah untuk membantu pemilik bengkel dalam menguruskan perniagaan mereka.

Ia disusun dan dirancang oleh seorang mekanik berpengalaman dan kini berada di bahagian pengurusan. Pengalaman beliau yang meluas itu kami gunakan untuk menghasilkan aplikasi ini," terang Nik.

 

 

Adakah Scrut berjaya dalam usaha mereka? 

"Nampaknya Alhamdulillah, berjaya. Semakin kurang penipuan laporan kenderaan recond sekarang kerana pembeli sudah ada kuasa untuk membuat pemeriksaan sendiri," kata Aliff.

"Ia sebenarnya berpunca dari pembeli yang sentiasa mahukan yang paling murah. Ini ialah pasaran kenderaan terpakai. Jika ia terlalu murah, periksalah dengan Scrut dan pastikan ia betul," tambah Nik Izwan.

Untuk memeriksa kenderaan recond anda atau unit yang anda bercadang untuk beli, sila ke pautan ini:

https://scrut.my/r0o2v

Untuk mengetahui tindakan selanjutnya jika anda rasa tertipu:

https://blog.scrut.my/rasa-ditipu-marah-nak-ambil-tindakan-undang-undang-baca-dulu-5-perkara-tulisan-seorang-peguam-di-bawah/

Untuk mengetahui cara-cara menggunakan laporan keadaan kenderaan anda di mahkamah

https://blog.scrut.my/bagaimana-menggunakan-jrc-untuk-lawan-di-mahkamah/

 

Add new comment