Antara ciri baharu yang diperlihatkan termasuklah penggunaan lampu utama LED yang dihiasi dengan lampu nyalaan siang DRL, meter kluster berbentuk bulat dengan latarbelakang warna putih, kemasan warna Matt Black, panel aluminium tangki bahan api yang boleh dikustom, serta rekaan pelana yang lebih rata untuk keselesaan tunggangan.
Ciri baharu lain adalah Ducati Multimedia System (DMS) yang membenarkan penunggang untuk menambat sistem kepada peranti pintar, earpiece helmet, serta unit pada pembonceng menggunakan sambungan Bluetooth.
Dari segi kuasa, Scrambler Icon Dark ini didatangkan dengan nadi L-Twin Desmodromic bersesaran 803 cc yang menghasilkan 73 hp dan 67 Nm, dipadankan dengan transmisi manual enam kelajuan.
Bagi menyokong rangka Trellis, Scrambler Icon Dark ini menggunakan suspensi jenis upside down Kayaba 41 mm hadapan, dan penyerap hentak Kayaba di belakang.
Tinggi tempat duduk pula adalah sekitar 798 mm manakala opsyen tempat duduk rendah 778 mm juga turut tersedia.
Rim 10-spoke adalah bersaiz 18 inci hadapan dan 17 inci belakang, dibaluti tayar Pirelli MT, manakala aspek pemberhentian pula diserahkan kepada sistem brek angkup empat piston dengan cakera 330 mm hadapan, dan angkup terapung omboh tunggal dengan cakera 245 mm belakang.
Sistem keselamatan pula didatangkan dengan ciri Bosch Cornering ABS sebagai ciri standard.