Saya guna motosikal Adventure - helmet mana paling sesuai - full face, ADV atau MX? 

oleh HEZERI SAMSURI|
Genre ADV yang semakin popular juga menghasilkan genre kelengkapan yang baharu - contohnya helmet ADV. 

Helmet secara tradisional adalah pelindung kepala. Pengenalan kategori superbike memperkenalkan helmet full face, dan kemudian helmet MX untuk peminat motocross.

Helmet ADV adalah gabungan helmet full face dan MX, kerana penggunaan motosikal ADV yang dua alam.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Kami di Careta sering menerima pelbagai soalan dari pembaca, dan antaranya ialah berkaitan helmet.

Kali ini, kita kongsikan sedikit ilmu berkaitan perbezaan antara helmet full face, helmet MX dan helmet ADV dan yang mana sesuai untuk motosikal ADV anda.

 

 

Helmet full face

  • Helmet genre ini mempunyai bentuk paling aerodinamik, bermakna leher anda tidak lenguh untuk melawan angin ketika penunggangan laju.
  • Ia juga memberikan halangan bunyi yang terbaik, bermakna kurang bunyi angin dan bunyi enjin/ekzos dari luar masuk ke dalam telinga anda.
  • Mutu audio dari speaker terbina juga adalah yang paling baik kerana ia senyap.
  • Pengudaraan bukan ciri-ciri terbaik sebuah helmet full face. Dengan ruang tertutup, ia memang boleh menjadi panas.
  • Ia juga menawarkan perlindungan cuaca terbaik semasa hujan.
  • Dari segi berat, ia bergantung kepada harga. Namun begitu, ia bukanlah helmet yang paling ringan.

 

 


Helmet MX motocross

  • Helmet MX adalah lebih untuk tunggangan ekstrem motocross. 
  • Ia tidak mempunyai bentuk yang aerodinamik kerana kelajuan bukanlah ciri utama sebuah motocross.
  • Ia juga tidak mempunyai perlindungan bunyi yang baik, kerana itu bukan faktor utama dalam genre ini.
  • Rekabentuk helmet MX yang lebih "terbuka" menyebabkan ia mempunyai banyak ruang untuk udara masuk, dan ini membantu menyejukan kepada pengguna.
  • Semasa hujan, perlindungan dari air adalah minimum dan ini memang diterima oleh penggunanya.
  • Ia juga lebih ringan kerana ia tidak mempunyai penebat bunyi dan span sebanyak helmet lain.
  • Ia tidak datang dengan visor, bermakna penggunaan goggle adalah perlu.

 

 

Helmet ADV

  • Helmet ADV mempunyai gabungan bentuk helmet full face dan helmet MX.
  • Ia mempunyai pelitup muka yang lengkap serta visor, tetapi mempunyai pelindung suria (peak) seperti helmet MX.
  • Dari segi aerodinamik, ia lebih baik dari helmet MX tetapi tidak sebaik helmet full face, kerana bentuk peak yang melawan arus udara.
  • Peak itu juga yang menyebabkan ia sedikit bising, tetapi dari segi pengudaraan, ia lebih baik dari full face kerana ruang yang lebih besar antara muka dan visor, terutama di bahagian mulut.
  • Ia berat sedikit dari helmet full face dan ada yang boleh menggunakan goggle, walaupun jarang kerana ia sudah tersiap dengan visor.

 

 

Dari pengalaman penulis, helmet ADV memang mempunyai batasannya berbanding dengan helmet full face.

Jika anda selalu menunggang laju di atas lebuhraya, helmet ADV akan menghasilkan bunyi angin yang lebih kuat dari helmet full face dan rintangan angin yang kuat bila penunggang menoleh ke sisi.

Namun begitu, peak yang wujud pada helmet ADV benar-benar membantu ketika menunggang pada waktu pagi dan matahari berada di hadapan kita.

Helmet MX pula terlalu "kosong" untuk kegunaan atas jalanraya, terutama dalam perjalanan jauh. Ia lebih bising, dan penggunaan goggle boleh menyusahkan mereka yang memakai cermin mata kerana ia mudah berkabus. 

Helmet full face adalah pilihan terbaik sekiranya anda memang menunggang di atas jalanraya sahaja, cuma dari segi kelihatan "cool", ia mungkin kurang sesuai dengan imej motosikal adventure anda.

Dari apa yang penulis lihat, tidak ada helmet yang sempurna dan akan ada "trade-off" dalam beberapa aspek. Terpulang kepada anda untuk menerima kekurangan setiap dari genre tersebut dan kelebihan mana yang paling berguna untuk anda.

Apapun, jauhi helmet-helmet replika kerana helmet yang cantik tidak membantu dalam kemalangan. 

Jangan jadi rider poyo - ride semata-mata untuk bergaya.

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Menurut laporan minggu lalu, pengguna motosikal hanya dibenarkan menggunakan topi keledar jenis…
Berita Domestik
Ini merupakan satu berita baik di mana anda kini boleh mendapatkan topi keledar Gracshaw edisi…
Pelancaran
Seramai 100 orang pemilik pertama Shoei X-Fifteen telah dijemput menghadiri acara pratonton…