SAU sasar kehadiran terbesar 100,000 peminat motosikal

oleh SALINA JALIL|
Karnival Santai Anak Utara (SAU) yang menyambut ulang tahun ke-10 tahun ini, yang akan dianjurkan bulan hadapan sekali lagi bakal mencatat sejarah sebagai program himpunan peminat motosikal terbesar negara dengan sasaran sehingga 100,000 peserta.


Ia selepas rekod tertinggi kehadiran penganjuran program berkenaan iaitu ketika SAU 5.0 yang diadakan di Amanjaya Mall, Sungai Petani pada 2017 dengan jumlah peserta mencecah lebih 80,000.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Program terbaharu yang akan diadakan di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) Serdang, Selangor pada 3 September ini juga menjadi karnival tahunan SAU yang julung kali diadakan di luar wilayah utara negara.

 

Kali ini program yang diasaskan 10 tahun lalu oleh Mohd Safiuddin Elias (Acai), 32, dan Mohd Syauqi Ismail, 40, ditambahbaik dengan sokongan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Pejabat Timbalan Menteri Perpaduan selaras dengan tema 'Belia Demi Negara'.

 

Program selama sehari itu akan menyajikan pelbagai pengisian antaranya termasuk kaedah tunggangan selamat, penyediaan peluang kepada pengunjung untuk menyertai latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pameran kerjaya, sembang bersama ikon permotoran, belia dan lain-lain.

 

Misi kali ini adalah untuk menjadikan ia sebagai titik pertemuan beberapa kelab permotoran serta meningkatkan tahap kesedaran keselamatan jalan raya, selain daripada mewujudkan aktiviti sihat untuk pengunjung.

 

Menjelaskan mengenai jumlah peserta, Mohd Safiuddin atau lebih selesa dipanggil Acai berkata, data mengenai daripada risikan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan pengiraan berdasarkan gambaran dari sudut tapak acara serta jumlah jualan baju rasmi program berkenaan.

 

"Dari segi usia, berdasar karnival sebelum ini, sebahagian besar peserta yang hadir adalah mereka berumur antara 15 hingga 30 tahun. Malah, kami pernah menerima kehadiran peserta semuda 12 tahun yang datang dari Kuala Lumpur, meskipun ketika itu acara diadakan di Batu Kawan, Pulau Pinang.

 

"Di sini saya ingin menasihatkan, tungganglah dengan selamat. Jika mereka ingin hadir dengan menunggang motosikal mahupun kereta, maka perlulah ada lesen dan cukai jalan serta mematuhi peraturan dan undang-undang. Bagi mereka yang muda dan belum layak mengambil lesen, maka tumpanglah dengan rakan yang mempunyai lesen. Kami ingin menerapkan ciri-ciri keselamatan yang lebih ketat kepada pengunjung pada kali ini," katanya ketika ditemui di sini sempena program SAU Media Ride, baru-baru ini.

 

Hampir 10 media tempatan menyertai program itu dengan berkonvoi dari Kuala Lumpur ke Baling, Kedah untuk mempromosi acara tahunan ke-10 SAU.

 

Sejak dari itu katanya perancangan lebih rapi mengenai pemilihan lokasi yang tertutup dibuat iaitu SAU 2.0 pada 2014 di Stadium Batu Kawan (18,000 peserta); SAU 3.0 2015 di Stadium Batu Kawan (21,000 peserta); SAU 4.0 2016 di Stadium Batu Kawan (37,000 peserta); SAU 5.0 2017 bersebelahan Amanjaya Mall, Sungai Petani (80,000 peserta); SAU 6.0 2018 di Laketown Resort Bukit Merah (62,000 peserta).

 

Program itu juga kini berdaftar dan bernaung dengan rasmi di bawah Pertubuhan Permotoran Santai Anak Utara.

 

 

Berita Harian