Satu pertiga kenderaan baharu tiada tayar ganti

oleh HEZERI SAMSURI|
Kajian oleh Persatuan Kenderaan Amerika atau AAA mendapati bahawa jumlah kenderaan baharu yang dijual tanpa tayar ganti semakin meningkat.

Menurut kajian AAA, satu pertiga dari kenderaan yang dijual dalam tahun 2017 ini tidak ada tayar ganti.

“Kerana itu, kami menerima lebih dari 450,000 panggilan dari ahli AAA untuk meminta bantuan kerana tiada tayar ganti,” menurut persatuan kenderaan itu yang mempunyai 55.6 juta ahli di US dan Kanada.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Walaupun kenderaan tersebut dibekalkan dengan kit tayar pancit atau tayar Run Flat, koyak yang besar sering terjadi dan kit tayar pancit memang tidak mampu menampungnya.

Kerana itu, AAA memberikan beberapa panduan untuk mengelakkan keperitan tersadai di tepi jalanraya di hutan belantara di waktu malam Jumaat keseorang kerana tayar pancit.

1. Jangan anggap tayar ganti sudah wujud di dalam boot
Bila membeli kereta baharu, pastikan ia dilengkapi dengan tayar ganti. Ini pernah berlaku kepada admin sendiri kerana ada syarikat kenderaan yang terlalu bijak, menggantikan tayar ganti dengan kit tayar pancit untuk sebuah MPV yang mengangkut keluarga. Bayangkan waktu malam, pancit ketika balik kampung dengan keluarga. 

2. Periksa keadaan kesemua lima-lima tayar
Periksa tekanan udara setiap bulan- termasuk tayar ganti. Untuk itu, pastikan anda tahu di mana tayar ganti itu disimpan. Ya, kami tahu, ada yang langsung tidak tahu di mana tayar ganti disimpan, apa lagi lokasi jek kereta!

3. Bersedia
Jika kereta anda datang dengan kit tayar pancit, baca dan fahamkan cara menggunakannya. Jangan bila sudah berada di tepi kubur pada jam 12 tengah malam, baru terkial-kial hendak membaca buku manual.
Dan tiba-tiba beberapa helai rambut panjang berwarna putih gugur dari langit ke atas mukasurat yang anda baca itu ….

4. Pastikan tarikh luputnya
Jika ada menggunakan kit tayar pancit, periksa tarikh luput kit itu. Ia seperti tong ubat nyamuk - ada tarikh luput. 

5. Langgan khidmat bantuan kecemasan
Cari insurans yang menawarkan pakej bantuan kecemasan di jalanraya.
Dahulu kita ada AAM, tetapi sekarang, pakej insurans lebih baik dan sekurang-kurangnya ada orang yang akan mengangkat panggil telefon kita.