Satu lagi jenama motosikal keluaran tempatan di pasaran tahun depan!

oleh SALINA JALIL|
Industri pembuatan motosikal negara terus berkembang apabila satu lagi jenama motosikal keluaran tempatan akan memasuki pasaran pada suku ketiga tahun hadapan.

Ia dilaksanakan menerusi projek usaha sama antara Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan syarikat AFY Mobility Industries Sdn Bhd (AMI).

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata Projek AM-2 itu akan membawa MARA selangkah ke hadapan, terutama dalam teknologi dan industri permotoran nasional.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

"Masa hadapan industri motosikal meningkat naik seiring perkembangan ekonomi gig.

 

"Saya yakin Projek AM-2 ini bakal memberi impak positif kepada industri dan MARA, selaras visi dan aspirasi kementerian memperkasakan ekonomi Keluarga Malaysia," katanya.

 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Projek Pembangunan Motosikal Jenama Tempatan AM-2 di sini, hari ini (Rabut).

 

Beliau berkata, kerjasama itu bakal membuka peluang penempatan latihan industri kepada pelajar Bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) MARA yang dikendali secara langsung oleh tenaga pakar AMI dengan konsep 'Teaching Factory'.

 

Katanya, kerjasama aspek penyelidikan sudah bermula dengan penyediaan pusat pembangunan produk untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

 

"Kerjasama ini adalah gabungan kepakaran pasukan R&D AMI dan German-Malaysian Institute (GMI).

 

"Ia juga akan membantu mempercepatkan proses pembangunan vendor dan tenaga kerja mahir serta R&D di peringkat MARA," katanya.

 

Mahdzir berkata, kerjasama turut merangkumi pelaburan strategik bagi membangunkan jenama dan hab pengeluaran motosikal Malaysia untuk pasaran tempatan serta Asia Tenggara.

 

Katanya, turut diberi tumpuan adalah pembangunan vendor dan usahawan Bumiputera, sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

 

"Sejak 2017, seramai 60 pelatih GiatMARA menjalani latihan industri di AMI dan berterusan hingga hari ini. Saya berharap program penempatan latihan industri ini dapat diteruskan bagi menyokong peningkatan kebolehpasaran graduan TVET MARA," katanya.

 

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif Kumpulan AFY Mobility Industries Sdn Bhd, Ahmad Faez Yahaya, berkata projek membangunkan motosikal berkenaan termasuk R&D, bermula pada 2020 dan ia adalah 100 peratus motosikal keluaran tempatan.

 

"Projek ini akan menumpukan pengeluaran motosikal jenis kapcai dan skuter.

 

"Sokongan padu kementerian dan MARA dalam Projek Pembangunan Motosikal ini dapat merealisasikan objektif syarikat mengangkat nama Malaysia dalam industri dua roda," katanya.

 

 

 

Berita Harian