Satu daripada lima rakyat Malaysia 'sakit'

oleh Mohamad Hanif|
KIRA-KIRA satu daripada lima pengguna jalan raya di negara ini dikesan berhadapan dengan masalah `mental’ kerana didapati mengamalkan pemanduan agresif berpunca daripada pelbagai faktor dan boleh dikategorikan dalam kumpulan sakit.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Lebih mengejutkan, senario yang dibuktikan menerusi kajian Pakar Psikologi Trafik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Rozmi Ismail sejak 2008 itu mendapati, jumlah tersebut kian meningkat saban tahun.
 


Jumlah ini amat membimbangkan kerana kehadiran pemandu dan penunggang jalan raya sebegini boleh mendatangkan bahaya sekali gus membawa ancaman keselamatan kepada pengguna jalan raya lain yang tidak berdosa.

Jelasnya, ’sakit’ yang diterjemahkan oleh sebahagian besar pemandu berkenaan dipercayai berpunca daripada pelbagai faktor seperti personaliti kasar, sikap tidak sabar, sikap ambil mudah dan menjadikan jalan raya sebagai tempat melepaskan tekanan.

“Ada juga antara yang kumpulan tersebut boleh berubah personaliti tiba-tiba sebaik sahaja berada di atas jalan raya. Namun, apa yang lebih menakutkan adalah jumlah itu mereka yang semakin besar dan bertambah setiap tahun.

“Suatu ketika dahulu kita dihebohkan dengan sikap suka membuli sesetengah pemandu terhadap pengguna jalan raya lain, ini juga salah satu sikap agresif yang sehingga kini masih tidak dapat ditangani dengan baik, kini makin meruncing apabila mula berlaku perbuatan memandu dan menunggang melawan arus,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
 


Selain itu, Rozmi memberitahu, antara faktor sampingan lain yang mempengaruhi keadaan tersebut adalah seperti kesesakan trafik, peningkatan kos sara hidup dan masalah peribadi.

Bagaimanapun, Rozmi yang juga bekas Presiden Persatuan Psikologi Malaysia (Psima) turut menekankan sikap suka mengambil risiko ketika di jalan raya juga merupakan antara faktor utama masalah tersebut.

“Sikap gemar mengambil risiko (melanggar undang-undang) kerana merasakan perkara itu menyeronokkan sehingga menyebabkan kemalangan jalan raya adalah antara ‘penyakit’ yang sukar diubati dalam masyarakat hari ini.

Romzi menambah, keadaan bertambah buruk dengan jumlah pemandu dan penunggang `sakit’ melonjak berikutan trend memandu dan menunggang di bawah pengaruh dadah dan alkohol.
 

“Semua kegilaan ini perlu dibanteras bagi memastikan tiada individu lain terkorban akibat tindakan bahaya ini,” ujarnya.

Laporan asal daripada Utusan Malaysia.