Sarawak bakal tubuh syarikat penerbangan kecil milik sendiri

oleh SALINA JALIL|
Sarawak merancang menubuhkan sebuah syarikat penerbangan kecil yang disasar bagi membantu usaha menjana ekonomi negeri melalui eksport hasil pertanian, selain memenuhi permintaan perjalanan individu dan pelancongan.


Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, berkata kerajaan negeri melihat keperluan sebuah syarikat penerbangan kecil milik sendiri dilengkapi pesawat yang tidak terlalu besar, memuatkan sekitar 100 hingga 200 penumpang untuk membawa masuk pelancong, ketika ini.
LEXUS MREC Banner Campaign August 2024

 

"Jadi kita tidak (terlalu) bergantung kepada syarikat penerbangan (komersial) lain," katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis pecah tanah Lapangan Terbang Landasan Pendek Bebuling, Spaoh di sini, hari ini.

 

Katanya, operasi penerbangan itu juga akan tertumpu kepada hab strategik, selain rancangan awal bagi menyediakan khidmat penerbangan secara terus dari Sarawak ke Kuala Lumpur, Singapura, Thailand, Indonesia dan Hong Kong.

 

 

Merujuk kepada Lapangan Terbang Landasan Pendek Bebuling yang dianggarkan menelan kos RM108.1 juta dan dijangka siap September 2023 itu, Abang Johari berkata, operasinya dilihat berpotensi menyumbang kepada pembangunan sektor pertanian dan pelancongan di kawasan luar bandar

"Lapangan terbang ini penting sebagai pusat pengangkutan untuk menghantar hasil makanan dan produk makanan dari Betong, Spaoh dan kawasan berdekatan, selain lokasinya berdekatan kawasan tarikan pelancongan Batang Ai," katanya.

 

 

– BERNAMA