Melalui MoU itu, kedua-dua syarikat bakal menjalankan kajian kebolehlaksanaan serta bekerjasama ke arah penubuhan sebuah fasiliti di Malaysia untuk menghasilkan dan membekalkan komponen pek bateri bagi tujuan komersial dan industri.
ZZ Tech merupakan salah satu pembekal kepada Contemporary Amperex Technology Co., Limited (CATL), yang mempunyai kontrak bersama Perodua untuk membekalkan pek bateri lithium iron phosphate (LFP) bagi EV pertama Perodua.
Walaupun dokumen pemfailan tidak menyebut mengenai Perodua, terdapat kemungkinan bahawa Perodua akan mendapatkan bekalan bateri daripada fasiliti baharu itu sekiranya kerjasama tersebut disahkan.
Rancangan Perodua untuk memperkenalkan EV pertamanya diumumkan buat kali pertama menerusi konsep EM-O di Malaysia Autoshow 2023.

Ia kemudian diikuti dengan pembangunan prototaip eMO-I, sebuah Perodua Myvi yang dilengkapi sistem pacuan elektrik yang dipamerkan pada Malaysia Autoshow 2024.
Seterusnya yang terbaharu, Perodua telah mendedahkan konsep eMO-II yang dipamerkan di Kuala Lumpur International Mobility Show 2024.
Sehingga kini, tiada maklumat terperinci mengenai spesifikasi yang akan ditawarkan pada EV pertama Perodua, namun berdasarkan spesifikasi sasaran yang didedahkan, EV pertama Perodua itu dijangka akan menggunakan motor tunggal pada roda hadapan dengan kuasa 160 hp dan 220 Nm.
Motor elektrik itu pula akan dikuasakan oleh pek bateri LFP berkapasiti 50-60 kWh yang diperoleh daripada CATL, dengan jarak gerak sasaran sejauh 400 km bagi setiap cas penuh.