Sani Express bakal ‘pecah’ monopoli perkhidmatan feri ke Langkawi

oleh Penyumbang Rencana|
gambar dari JLM
Operator bas ekspres terbesar negara, Sani Express Sdn. Bhd. dijangka mampu memecahkan monopoli perkhidmatan feri ke Pulau Langkawi dalam masa terdekat.


Perkara itu dipercayai boleh berlaku berikutan kesediaan syarikat itu menawarkan feri alternatif yang dijangka dapat beroperasi menjelang Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2023 dibuka mulai 23 Mei ini.

 

Dalam satu pautan Facebook Jabatan Laut Malaysia (JLM) yang dikongsikan syarikat berkenaan, Sani Ferry Sdn. Bhd. berusaha keras menyiapkan dua feri iaitu SANI 1 dan SANI 2 bagi memenuhi permintaan tinggi penumpang semasa acara besar negara ini berlangsung 23 hingga 27 Mei ini.

Utusan Malaysia pada Selasa melaporkan berita dari sumber industri yang meminta pihak kerajaan menghentikan monopoli pengangkutan awam air ke pulau tersebut berikutan langkah beberapa syarikat membentuk konsortium pada ketika ini menyebabkan timbul banyak rungutan penumpang selain mutu perkhidmatan tidak cekap.

Isu kelemahan feri itu turut dibangkitkan Presiden Persatuan Pengguna Kedah, Mohamad Yusrizal Yusoff yang menggesa kerajaan menamatkan monopoli feri dikawal konsortium.

Sani Ferry Sdn. Bhd. ditubuhkan pada 2016 yang menawarkan feri rekaan moden dengan setiap sebuah mampu mengisi kapasiti 250 penumpang dalam satu masa.

Langkah berkenaan bakal mengurangkan kesesakan dan masa penumpang menunggu di Jeti Kuala Perlis, Perlis yang akan sesak setiap kali program dwitahunan itu berlangsung.

LIMA edisi ke-16 itu dijangka menarik penyertaan 600 pempamer daripada 30 negara dengan sasaran pemeteraian kontrak bernilai RM8 bilion dan kehadiran 100,000 pengunjung.

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Bagaimanapun, beliau memaklumkan, isu membabitkan perkhidmatan feri berada di bawah bidang tugas…
Informasi
  “Pihak pengurusan feri mengambil inisiatif membantu kerajaan untuk memudahkan orang ramai pulang…
Berita Domestik
  Operasi memindahkan penumpang feri Express Bahagia 98 yang terkandas di perairan Kuala Kedah…