Dari Celica XX ke Supra Turbo
Pada usia 30 tahun, sebelum beliau menceburi dunia politik secara serius, Takaichi membeli kereta baharunya hasil simpanan sendiri iaitu sebuah Toyota Supra 2.5GT Twin-Turbo Limited tahun 1991. Pilihannya bukan kebetulan. Sebelum itu, beliau sudah pun memiliki sebuah Celica XX (juga dikenali sebagai Celica Supra di pasaran luar Jepun), dan Supra A70 ini menjadi kesinambungan semangat sporty Toyota yang digilainya.
Spesifikasinya cukup mengujakan pada era tersebut: warna Super White Pearl Mica, kemasan dalaman kulit burgundy, enjin 1JZ-GTE 2.5 liter twin-turbo dengan 276hp, dipadankan dengan transmisi automatik empat kelajuan. Tidak lama selepas itu, beliau turut menambah sistem navigasi Panasonic, teknologi canggih pada zamannya.

Simbol Kerja Keras dan Setia Kawan
Supra ini bukan sekadar kereta, tetapi teman setia ketika beliau berkempen dari kawasan Nara ke Tokyo, malah berulang alik ke bangunan Parlimen. Lebih dari dua dekad Takaichi terus memandu Supra putih ini walaupun ketika kerjayanya sudah menjangkau ke peringkat menteri kanan dalam Parti Liberal Demokratik (LDP).

Apabila beliau mula mendapat kereta rasmi kerajaan sekitar awal 2000an, Supra itu tidak dijual atau dilupuskan. Sebaliknya ia disimpan dengan penuh hati-hati di sebuah bengkel di Nara. Bagi Takaichi, kereta itu melambangkan titik permulaan perjuangannya.
Restorasi dan Pameran
Tahun lalu, ketika beliau bertanding merebut jawatan Presiden LDP, sebuah pengedar Toyota di Nara yang asalnya menjual Supra tersebut kepadanya mengambil langkah untuk menghidupkan kembali kereta itu. Sepuluh juruteknik sukarela bergabung melakukan kerja restorasi cat, enjin dan dalaman, menjadikan Supra itu kembali bersinar seperti baharu.

Kini, Supra tersebut menjadi tarikan di muzium kecil milik Nara Toyota lengkap dengan paparan figura Takaichi, seorang ahli politik yang kini sedang menunggu pengesahan rasmi sebagai Perdana Menteri wanita pertama Jepun.
Iron Lady Jepun dan Kereta Ikon 90an
Bagi ramai pengikut politik, Takaichi digelar “Iron Lady” Jepun, seolah olah versi Margaret Thatcher dari Asia. Sama ada disukai atau dibenci kerana pendiriannya yang tegas, satu hal yang pasti, beliau tetap setia kepada Toyota Supra Mk3 miliknya.

Kereta itu bukan sekadar sebuah jentera, tetapi lambang perjalanan panjang seorang wanita yang kini bakal memimpin sebuah negara maju. Supra putih miliknya kekal sebagai saksi kepada lebih 30 tahun dedikasi, kerja keras dan kini sejarah baharu buat Jepun.
Sumber: Car and Drive