Sakan 'berwhelie', 7 remaja berusia 15 - 17 tahun ditahan tunggang motosikal secara berbahaya

oleh SALINA JALIL|
gambar dari Berita Harian
Tujuh remaja lelaki ditahan selepas melakukan pelbagai aksi berbahaya ketika menunggang motosikal termasuk 'wheelie' di Jalan Kota Seribong, di Kota Bharu, petang Jumaat.


Semua remaja lelaki ditahan berusia antara 15 hingga 17 tahun itu dikesan bersaing sesama sendiri menunggang motosikal dengan laju sambil mempamerkan aksi berbahaya dan ditonton kira-kira 40 remaja lain.

 

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, berkata tujuh remaja itu ditahan kira-kira jam 6.30 petang dalam Op Samseng Jalanan yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.

 

"Sebaik melihat kedatangan polis, beberapa remaja yang sedang menonton bertempiaran melarikan diri dan dua motosikal ditinggalkan disebabkan panik.

 

"Penugasan dibuat di kawasan itu berdasarkan banyak aduan diterima menjadikan laluan berkenaan sebagai lokasi menduga kelajuan motosikal oleh remaja dari kawasan sekitar," katanya kepada BH, semalam.

 

Mohd Rosdi berkata, bagi kesalahan menunggang motosikal secara berbahaya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, manakala dua kenderaan ditinggalkan pula disita mengikut Seksyen 60 (1) APJ 1987.

 

Beliau berkata, operasi diketuai Ketua BSPT IPD Kota Bharu, Asisten Superintendan Ahmad Adnan Mohamad dengan 12 anggota itu bermula jam 5 petang hingga jam 11 malam dengan 38 motosikal diperiksa.

 

"Sebanyak 40 saman dikeluarkan dengan kesalahan paling tinggi adalah tiada lesen menunggang motosikal di bawah umur 16 tahun (7), diikuti enam saman kerana mengubah suai motosikal.

 

"Op Samseng Jalanan akan dijalankan berterusan bagi mengesan penunggang motosikal yang menunggang secara melulu dan merbahaya dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.

 

"Kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat amat dialu-alukan dengan menghubungi kami di talian 09-7752355 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

 

 

 

Berita Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
  Antara laluan popular yang menjadi tumpuan ialah Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Kuala…
Berita Domestik
  Menurutnya, penahanan itu juga hasil jalinan kerjasama antara Jabatan Siasatan dan…
Berita Domestik
  Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri…