Saiz helmet - kenapa lain-lain?

oleh HEZERI SAMSURI|
Penunggang motosikal adalah antara rakan-rakan yang paling seronok untuk diajak berbual.

Tidak seperti geng kereta yang hanya tahu memanjat dan menurun bukit yang sama selepas 20 tahun tanpa jemu, penunggang motosikal adalah majoriti yang meronda sekeliling negara dan ke luar negara dengan motosikal masing-masing.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

Dan bila melepak bersama mereka, antara cerita yang timbul ialah saiz helmet - kenapa helmet yang sama jenama, sama model dan sama saiz tidak boleh dipakai oleh sesetengah penunggang.

Ini adalah sebab-sebab kenapa kita perlu lebih berhati-hati bila membeli helmet motosikal.
 

 

Ketahuilah, rambut sama hitam, bentuk kepala lain-lain

Ada tiga jenis bentuk utama untuk kepala manusia, jika dilihat dari atas;

  • Bujur atau melonjong
  • Bulat seperti bulan
  • Bentuk telur - gabungan bujur dan bulat

Kebanyakan kepala orang Eropah berbentuk bujur dan orang Asia kebanyakan mempunyai kepala yang berbentuk bulat.

Namun begitu, ia tidak semestinya mengikut undang-undang tersebut dan ini yang menyebabkan kadang-kala sedikit sukar untuk mendapatkan saiz yang tepat untuk kehendak kita.
 

 

Adakah helmet ini terlalu sempit?

Helmet tidak boleh longgar dan ia sepatutnya cukup kedap bila dipakai.

Namun begitu, jika anda terasa ketat di bahagian dahi dan ada tekanan tinggi di atas ubun-ubun anda, ini bermakna helmet itu terlalu kecil untuk kepala anda.

Tetapi jika cuma pelapik pipi sahaja yang terasa sendat, itu perkara biasa. Pelapik pipi akan lembut selepas beberapa hari helmet dipakai. Jika masih terasa ketat di pipi, antara anda lakukan diet atau tukar kepada pelapik pipi yang lebih nipis.

 

 

Adakah helmet ini terlalu besar?

Sarungkan helmet pilihan anda, ikat tali keledar dan kemudian goyangkan kepala anda dengan kuat dari kiri ke kanan.

Jika helmet itu boleh bergerak walaupun sedikit, ia bermakna helmet itu terlalu besar.

Tetapi jika kepala anda berbentuk bujur (Eropah), mungkin ada terasa ruang kosong di kiri dan kanan dahi anda tetapi anda akan tetap terasa ketat di bahagian hadapan kerana helmet menekan di kawasan tengah dahi pula.

 

 

Bukankah semua jenama menggunakan saiz helmet yang sama?

YA!

Eh TIDAK!

Errr, ya dan tidak.

Seperti kasut, saiz bergantung kepada rekabentuk dan jenama helmet itu sendiri. Ada yang menggunakan saiz yang hampir sama, contohnya Shoei dan Arai.

Namun begitu, helmet yang datang dari jenama yang sama juga mempunyai saiz yang sedikit berbeza kerana bentuk yang berlainan. 

Lebih menambahkan masalah ialah tidak ada label pada helmet itu yang menulis helmet itu untuk kepala bentuk apa.

Menurut Shoei dan Arai, mereka hanya akan membekalkan helmet mengikut homologasi keselamatan dan bentuk kepala pasaran yang dijual kepada pengedar rasmi mereka. 

Jadi sekiranya helmet itu datang dari Eropah, besar kemungkinan, ia menggunakan bentuk kepala Eropah.

Sepanjang pengalaman penulis, helmet bentuk Eropah memang mempunyai masalah kerana ia tidak boleh terlalu ketat, tetapi dalam masa yang sama, ia masih sedikit longgar hinggakan bila membuat tunggangan laju, visor mula mencium hidung dan bibir.

 

 

Kedai-kedai tidak akan menyimpan saiz-saiz dengan banyak kerana ia akan memakan kos dan juga ruang.

Givi adalah satu contoh jenama yang sentiasa memaksa pengedar mereka hanya menjual helmet dengan saiz yang tepat untuk pelanggannya.

Malah jika anda tidak pasti apa saiz helmet, lawati mana-mana cawangan Givi Point kerana mereka mempunyai pembantu yang dilatih dalam cara mengukur saiz helmet motosikal yang paling sesuai untuk anda.

Di bawah ialah saiz helmet motosikal yang digunakan oleh Arai dan Shoei. Cara mengukur kepala secara ringkas ialah ambil pita pengukur kain dan lilit di atas mata dan telinga dan lihat berapa ukur lilit kepala anda.

Ingat, cara ini hanyalah cara ringkas dan ia tidak semestinya memberikan saiz yang tepat. Cara paling baik ialah untuk mencuba helmet itu sendiri!

 

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Topi keledar tersebut dikhabarkan bakal dilelong di Bonhams Cars Miami.     Sejarah disebalik…
Berita Global
Menurut laporan minggu lalu, pengguna motosikal hanya dibenarkan menggunakan topi keledar jenis…
Berita Domestik
Ini merupakan satu berita baik di mana anda kini boleh mendapatkan topi keledar Gracshaw edisi…