Sah: SUV pertama Lotus bernama Eletre, pelancaran 29 Mac ini

oleh Mohamad Hanif|
Setelah beberapa kali teaser dimuatnaik (beserta dengan imej paten yang tersebar), Lotus akhirnya mendedahkan nama rasmi SUV pertama berkuasa elektrik, iaitu Lotus Eletre.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Nama rasmi SUV Lotus Type 132 tersebut didedahkan menerusi video teaser terbaharu berdurasi 15 saat.

 


Dibina menggunakan platform EV modular, Lotus Type 132 bakal menampilkan sistem elektrik 800 voltan dengan pek bateri berkapasiti antara 92-120 kWh, dengan prestasi pecutan 0-100 km/j dalam tempoh tiga saat.

Dalam teaser yang didedahkan sebelum ini, Lotus memperlihatkan beberapa elemen rekaan pada SUV tersebut, terutama rekaan roda stereng dengan butang mod pemanduan, skrin kluster digital, serta binaan roda daripada gentian karbon.
 

Lotus


Berdasarkan imej paten yang diperoleh sebelum ini, SUV pertama Lotus ini membawakan reka bentuk yang agresif, diikuti dengan garis bumbung seakan model coupe, unit lampu depan jenis terpisah dan bar lampu LED memanjang pada bahagian belakang.

Lebih banyak informasi bakal diketahui menjelang pelancaran rasmi Lotus Eletre pada 29 Mac ini, jam 7.30 malam BST (atau 30 Mac, 2.30 pagi waktu Malaysia).