Seperkara yang perlu diketahui, output enjin Civic Type R bergantung kepada pasaran sebagai contoh 316 hp untuk model Eropah dan Jepun atau lebih tinggi berbanding Amerika Syarikat.
Berdasarkan senario tersebut, perlu ditunggu angka rasmi model pasaran lain.
Walaupun kekal dengan enjin K20CI, Honda sebenarnya telah merekabentuk semula komponen pengecas turbo dan meningkatkan kadar kemasukan udara.
Saiz, bentuk dan jumlah bilah turbo telah dioptimumkan termasuk laluan udara dan membolehkan pengecas turbo menjana tekanan pada julat yang lebih besar dan cekap.
Sistem ekzos juga dirombak semula dengan rekaan baharu dan penggunaan injap aktif. Kesemua ini menyumbang kepada kuasa, daya kilas dan respon lebih baik.
Honda turut memberi perhatian kepada kotak gear enam kelajuan supaya lebih jitu untuk dirasai pemandu.
Padanan putaran enjin (rev match) juga disemak kembali untuk operasi tukaran gear ke bawah lebih sempurna dan mengekalkan kestabilan semasa memasuki selekoh.
Roda tenaga Civic Type R FL5 juga lebih ringan berbanding sebelum ini.
Selain prestasi mekanikal, pakej casis Civic Type R FL5 berbeza dengan jarak roda bertambah 1.4 inci kepada 107.7 inci untuk pemanduan lebih lancar dan stabil.
Trek depan dan belakang juga bertambah 1 inci dan 0.75 inci di belakang.
Bersama set suspensi depan dan belakang yang ditala semula, perubahan tersebut mempertingkatkan kestabilan kereta di laluan lurus dan feel stereng.
Dari maklum balas di media sosial, ramai yang gemarkan rekaan badan Civic Type R FL5 yang kemas dan matang.
Maklumlah, ianya dibangunkan dari Civic yang tampil ringkas dan bersahaja.
Dimensi hatchback ini sebenarnya 0.8 inci lebih panjang, 0.5 inci lebih rendah dan 0.6 inci lebih lebar dengan fender yang mengembang dan menyimpan roda dengan trek lebar.
Dari gambar, fender nampak sekata dan kemas tetapi sebenarnya lebih kembang daripada Civic hatchback biasa.
Dengan begitu banyak penambahan dan peningkatan, saiz roda pula diturunkan kepada 19 inci berbanding 20 inci pada Civic Type R FK8.
Walaupun lebih kecil, tayar Michelin Pilot Sport 4S yang digunakan 20 mm lebih lebar dengan ukuran 265/30.
Kuasa, casis, pengendalian sudah diberi perhatian dan begitu dengan pembrekan.
Civic Type R FL5 menggunakan cakera dua bilah (two-piece) yang menurunkan berat tak berpegas (unsprung).
Penyejukan brek turut dipertingkat manakala penggalak brek ditala semula bagi menambah baik rasa dan pengawalan.
Tidak terhad kepada warna tradisi Championship White, ada empat lagi pilihan untuk pelanggan iaitu Rallye Red, Boost Blue, Crystal Black Pearl dan Sonic Grey Pearl.
Harga untuk pasaran Amerika Syarikat belum diumumkan dan Civic Type R FL5 dikeluarkan di kilang Honda Yorii di Jepun berbanding sebelum ini di Swindon, United Kingdom.
Enjin K20C1 pula dipasang di kilang enjin Honda Anna di Ohio, Amerika Syarikat.
Bagaimana dengan pasaran tempatan? Berdasarkan sejarah Civic Type R FD2 dan FK8 peminat tempatan berkemungkinan tinggi boleh merasai dan membelainya.
Penulis: Muhammad Md Tajudin