Saga rempuh pintu bank

oleh SALINA JALIL|
Tindakan seorang wanita meninggalkan keretanya dalam keadaan enjin tidak dimatikan membawa padah apabila kenderaan itu merempuh pintu kaca sebuah bank di Sipitang, Sabah pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.45 pagi itu, wanita berusia 29 tahun berkenaan turut meninggalkan dua anaknya yang berusia dua dan lima tahun di dalam kenderaan terbabit.

Ketua Polis Daerah Sipitang Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, kejadian berlaku apabila pemandu wanita bertindak meninggalkan dua anaknya di dalam kereta Proton Saga untuk berurusan di sebuah bank.

 

Menurutnya, siasatan awal mendapati, wanita itu meletakkan kenderaannya di hadapan bank terbabit dan keluar beratur di mesin juruwang automatik (ATM).

 

"Ketika itu dua anaknya iaitu lelaki berusia dua tahun dan perempuan berusia lima tahun berada dalam kereta berkenaan.

 

"Ketika wanita itu sedang beratur di luar ATM, tiba-tiba orang awam menjerit dan mendapati kereta yang ditinggalkannya telah melanggar pintu utama bank terbabit dan menyebabkan cermin pintu rosak," katanya ketika dihubungi.

 

Champin berkata, dua kanak-kanak di dalam kenderaan dan orang awam yang berada di dalam di bank tidak mengalami sebarang kecederaan.

 

"Siasatan lanjut mendapati, kecuaian berlaku disebabkan wanita itu meninggalkan kenderaannya dalam keadaan enjin masih hidup dan gear terletak di posisi 'drive'.

 

"Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 iaitu gagal mengawal kenderaan semasa memandu dan menyebabkan kemalangan," katanya.

 

 

SH

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Dalam tempoh tersebut, sebanyak 10,380 unit kenderaan Proton telah berjaya dijual, sekaligus…
Berita Domestik
Peraduan ini boleh disertai dengan hanya menempah mana-mana model Proton baharu (Saga, Persona,…
Berita Global
Ia merupakan satu acara khusus bagi menghargai model-model kereta yang unik dari era 60-an hingga…