Safe Kids Malaysia - Program Memperkasakan Masyarakat Melalui Penyelidikan Translasi

oleh Mohamad Hanif|
Safe Kids Malaysia telah menerima lawatan delegasi daripada Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) Kementerian Pelajaran Malaysia terdiri daripada 20 orang individu berlatarbelakangkan pengajian tinggi di bawah Southeast Asian for Higher Education Leadership (SEASHEL): Translational Research for Community Empowerment, Inspirational Leaders and Industrial Experiences.

Pada perjumpaan tersebut, Prof Madya Dr. Kulanthayan KC Mani, Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia UPM telah memberikan penerangan terhadap program di bawah seliaan Safe Kids Malaysia. 

Terdapat dua program perdana di bawah inisiatif Safe Kids Malaysia yang menarik perhatian untuk dikongsikan iaitu Motorcycle Child Helmet Initiative dan Home Safety Program - Preventing Fire and Burn Among Children.

 


Memenangi tiga anugerah utama peringkat antarabangsa1, Motorcycle Child Helmet Initiative mensasarkan sejumlah 24% kanak-kanak daripada penyelidikan yang dijalankan didapati tidak memakai helmet ketika membonceng motosikal manakala selebihnya memakai helmet yang tidak menepati spesifikasi keselamatan yang ditetapkan. 

Inisiatif ini telah mengedarkan kira-kira 1,500 buah helmet kanak-kanak ke sekolah sekolah sekitar Hulu Langat dan Petaling Perdana dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Safe Kids Worldwide USA dan Halliburton Foundation USA. 

Lantaran daripada usaha yang telah dijalankan, terdapat peningkatan daripada 3.6% kepada 35.5% penggunaan helmet kanak-kanak di dalam tempoh setahun, manakala kesedaran di kalangan penunggang dewasa juga turut meningkat daripada 75.6% kepada 87.3%. 

Fasa kedua inisiatif ini akan bermula pada Ogos 2018 ini dengan sasaran beberapa buah sekolah rendah di dalam daerah yang sama serta melawat kembali sekolah terdahulu bagi memastikan mereka mematuhi peraturan ketika di jalan raya. 
 


Home Safety Program - Preventing Fire and Burn Among Children pula dijalankan di Sentul melibatkan lebih 6,000 orang pelajar dari sembilan buah sekolah rendah bermula dari 2016 bagi memberikan kesedaran kepada mereka tentang bahaya api dan kecederaan disebabkan api di kalangan kanak-kanak. 

Pada tahun 2017, modul terbaharu pencegahan api dan kecederaan kebakaran diperkenalkan, disahkan dan mendapat sokongan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Safe Kids Worldwide USA, Honeywell Hometown Solutions USA dan Honeywell ASEAN. 

1 Motorcycle Child Helmet telah memenangi anugerah peringkat antarabangsa iaitu

  • FedEx International Road Safety Award (April 2017), 
  • Excellence in Communication Award di Baltimore, USA (July 2017) and 
  • Prince Michael International Road Safety Award di London, UK (December 2017)

Add new comment