Mercedes-Benz Malaysia telah melancarkan model S-Class pertama yang dilengkapi dengan ciri plug-in hybrid, S 560 e yang membawakan definisi baharu kemewahan kepada barisan kenderaan premium di Malaysia.
Sedan S 560 e membawakan gandingan kuasa 469 kuasa kuda, hasil gabungan dari enjin 3.0 liter bentangan V6 (367 hp) dan EQ Power (122 hp).
Hasilnya, ia mampu memecut sepantas 5.0 saat dari 0-100 km/j dengan jarak pemanduan elektrik mampu mencapai sehingga 50 km.
Untuk pasaran Malaysia, S 560 e dilengkapi dengan pakej Chauffeur yang menawarkan tempat duduk hadapan posisi Chauffeur, perehat kepala mewah ADJUST dan perehat kaki mudah alih untuk penumpang hadapan.
Sedan PHEV ini turut menampilkan spesifikasi bertaraf premium seperti pelbagai tetapan suhu untuk sistem pendingin hawa, alat pemanas, pemanas terbina dalam pada tempat duduk, perehat tangan dan sistem ventilasi dalam tempat duduk.
Harga jualan untuk model pemasangan tempatan ini pula bermula dari RM658,888 atau bulanan serendah RM5,588 dengan pelan pembiayaan Agility
Selain daripada itu, Mercedes-Benz Malaysia turut memperkenalkan dua lagi model baharu, sebuah daripadanya model hibrid C-Class manakala sebuah lagi merupakan SUV elektrik sepenuhnya, EQC.
Mercedes-Benz C 300 e merupakan kemasukan baharu ke dalam rangkaian model EQ Power yang menampilkan ciri pintar, rekaan yang sporty namun tetap elegan dan kontemporari.
Ia turut membawakan sistem hibrid yang sama seperti model S 560 e.