FNG Works dimiliki dan dioperasikan oleh Mohamad Irwann Bin Mohd Azlan, berusia 33 tahun yan lebih dikenali sebagai Cheng oleh rakan-rakannya.
Beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari UiTM Shah Alam.
Antara inspirasi binaan beliau adalah motosikal yang direka oleh Khalid "The Rusty Factory", Omar Jumiran, Padin Musa, Hills Angels, Azizan Rahim, dan Acid Welding.
Bagi pembina antarabangsa, Cheng mengagumi karya Maxwell Hazan, Allen Millyard, Ed Roth, Arlen Ness, dan Sure Shot.
Kisah Twin Boss V2 bermula pada Art Of Speed 2017 dengan debut RXZ Twin Boss yang asal. Dalam reka bentuk V1, Twin Boss juga dikuasakan oleh dua enjin Yamaha RXZ 135cc tetapi dikonfigurasikan dengan satu enjin di hadapan yang lain dan disambungkan pada crank melalui drive-chain.
Twin Boss asal telah disiapkan dalam gaya Digger' dan menjadi hadiah cabutan bertuah pada AOS 2017.
Untuk Art Of Speed Malaysia 2024 yang ke-13, Cheng mengambil pendekatan baharu dan lebih maju untuk RXZ Twin Boss V2, kali ini menggabungkan sepenuhnya dua enjin Yamaha RXZ 135cc menjadi enjin dua silinder tunggal.
Cheng menjelaskan, "Saya ingin mencipta motosikal yang kelihatan cantik dan menarik perhatian. Sesetengah orang mungkin mengkategorikannya sebagai gaya 'Board Tracker' atau 'Land Speed Racer', tetapi saya mulakan dengan dua enjin Yamaha RXZ yang saya gabungkan menjadi satu unit.
“Dari situ saya membina motosikal di sekeliling enjin yang, pada pendapat saya, mempunyai perkadaran dan garisan yang tepat. Untuk sentuhan terakhir, saya mensasarkan tahap ketepatan fabrikasi yang paling tinggi yang saya mampu capai." katanya.
Art Of Speed Malaysia (AOSM) membiayai penyertaan Cheng dalam acara tersebut, dengan bajet RM60,000 untuk menghantar motosikal tersebut ke Jepun, termasuklah penerbangan, hotel, pengangkutan, dan logistik.
Bagi meraikan acara ini, pasukan AOS akan menghasilkan sebuah filem pendek bagi meraikan serta memperingati perjalanan RXZ Twin Boss V2 dari Ipoh, Malaysia ke Yokohama, Jepun.
Projek filem ini akan menampilkan Cheng sendiri, pembina kustom dari Ipoh, bersama-sama dengan Farid Nabawi, Pengarah Kreatif AOS.
Hanif Sulhi, pemenang Anugerah Siri Dokumentari Terbaik 2023, Fail Mahkamah TV3, akan membawa bakatnya dalam penceritaan dan menjadi pengarah filem pendek tersebut.
Dengan tajuk "RXZ Balik Kampung: Dari Ipoh ke Yokohama", mesej yang penuh inspirasi ini bertujuan untuk memperkasakan kreativiti dalam kalangan belia, menyemai keseronokan, dan mencipta kenangan yang tidak dapat dilupakan.
Filem pendek ini akan dibahagikan kepada siri 6 episod, dengan tayangan perdana di semua platform sosial AOS pada Hari Krismas, 25 Disember 2024.
Lebih menarik lagi, filem ini akan dihantar ke pelbagai Festival Filem Antarabangsa, termasuk Festival Filem Motosikal (Toronto, Kanada), VAHNA Motorcycle Film Festival (USA), dan Dubai Motorcycle Film Festival (Dubai).
AOSM percaya bahawa penyertaan Malaysia dalam acara ini akan menonjolkan bakat rakyat Malaysia di persada dunia dan membawa perhatian global kepada industri kreatif Malaysia terutamanya dalam dunia kustom.
Pasukan AOS akan berada di Jepun selama enam hari bersama 15 peserta rombongan untuk menyokong dan memberikan semangat kepada FNG Works!
Asep Ahmad, Pengarah Festival AOSM, berkata, "Kami amat berterima kasih kepada semua yang menyokong acara Art Of Speed, yang membolehkan kami membawa rakyat Malaysia ke luar negara untuk mempamerkan bakat mereka.
“Kami teruja untuk FNG Works menyertai acara yang berprestij ini dan berharap ramai lagi akan mengikuti jejak mereka untuk menjadi pembina kustom bertaraf dunia di pentas dunia." tambahnya.
Art Of Speed juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada KEJOS AUTOPROJECT atas sokongan logistik di Jepun untuk Yokohama Hot Rod Custom Show ke-32.
Berikut merupakan spesifikasi terperinci motosikal ini;