Rumah dirempuh kontena, dua kereta dan sebuah motosikal rosak, penghuni selamat

oleh Penyumbang Rencana|
Bahagian hadapan rumah seorang wanita, Shafiqa Shafie, 37, di Taman Desa Bayan Emas, di Bukit Kayu HItam rosak teruk akibat dirempuh sebuah kontena.

“Saya dengar bunyi kuat seperti lori membrek dan ketika itu saya sedang berehat dalam bilik.

“Saya nak buka tingkap untuk melihat apa yang berlaku tetapi tak boleh kerana kontena itu sudah merempuh anjung hadapan rumah yang terletak dekat dengan bilik tidur rumah saya,” kata Shafiqa.

Dalam kejadian jam 2.30 petang pada Isnin,  dua buah kereta dan sebuah motosikal milik Shafiqa turut rosak.

Menurut Shafiqa, dia ketika itu berada seorang diri dalam rumah dan bersyukur kerana terselamat dalam kejadian itu.

“Setiap hari saya mendoakan keselamatan saya, tidak sangka perkara ini boleh berlaku tetapi Alhamdulillah Allah melindungi saya hari ini,” katanya sebak ketika ditemui di lokasi kejadian, pada Isnin.

Menceritakan semula detik kejadian itu, Shafiqa berkata, dia bertindak pantas selepas mendengar jeritan kuat brek sebuah lori kontena dan terselamat  daripada terkena serpihan kemalangan itu.

Suaminya, Mohd Shahrul Md Wazir, 35, pemandu lori ketika itu tiada di rumah kerana bekerja.

“Saya berlari ke dapur untuk keselamatan. Sebaik menyedari treler itu berhenti, saya bergegas keluar untuk mendapatkan bantuan jiran.

“Serpihan bahagian atas siling akibat kemalangan itu jatuh ke bilik tidur saya. Alhamdulillah, saya bertindak pantas dan berjaya mengelak,” katanya.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan itu dan siasatan masih dijalankan setakat ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, kemalangan itu membabitkan sebuah kontena yang merempuh sebuah rumah.

“Kemalangan itu turut menyebabkan dua buah kereta dan sebuah motosikal yang parkir di rumah berkenaan.

“Setakat ini hanya pemandu lori kontena terbabit mengalami cedera ringan akibat akibat kemalangan dan kita dalam proses untuk menahan lori terbabit dan melakukan ujian saringan air kencing,” katanya.

Rodzi berkata, wanita yang juga pemilik rumah terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan ketika kejadian.

 

BuletinTV3

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan…
Berita Domestik
Kejadian tersebut turut menjadi tular di media sosial. Menerusi video berdurasi 23 saat itu,…
Berita Domestik
  Pakar Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM)…