Ruang kabin Mercedes-AMG SL 2022 diperlihatkan secara rasmi

oleh Mohamad Hanif|
Mercedes-Benz baru-baru ini memperlihatkan secara rasmi rekaan ruang kabin bagi model 2+2 Mercedes-AMG SL 2022, di mana pertama kalinya Mercedes menggunakan konfigurasi tersebut semenjak model R107 yang dilancarkan pada tahun 1971.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menurut laporan terdahulu, Mercedes-AMG SL 2022 ini bakal menggantikan model AMG GT Roadster, di mana ia dibangunkan menggunakan casis baharu yang menggandingkan bahan aluminium, keluli, magnesium dan komposit gentian.

Walaupun berat casis cuma sekitar 270 kg, Mercedes mendakwa badan baharu itu ternyata 50 peratus lebih tegar bebranding Mercedes-AMG GT Roadster dan 40 peratus lebih kuat, menyumbang kepada pengendalian yang lebih jitu, serta lebih lincah.

 


Gambar rasmi pertama yang diperlihatkan oleh Mercedes membawakan kita kepada rekaan kabin yang membawakan elemen daripada model-model roadster yang terdahulu dan sedia ada, elemen S-Class dan model GT 4-Door Coupe.

Disifatkan sebagai rekaan hyperanalog, Mercedes mendakwa ia merupakan gandingan antara geometri analog dan dunia digital, diinspirasikan daripada model asal 300 SL Roadster.

 


Rekaan papan pemuka yang ringkas, namun ia didominasi oleh skrin tengah besar bersaiz 11.9 inci yang boleh diubah sudut kecenderungan bagi mengelakkan silau mentari, serta skrin kluster digital 12.3 inci yang menggunakan sistem operasi MBUX terkini.

Selain itu, Mercedes turut mendatangkan elemen aviasi pada corong pendingin hawa yang menyerupai kipas turbin, serta pembesar suara Burmester yang dilindungi oleh bahan logam yang sebenar.

 


Pembeli juga akan diberikan pelbagai jenis pilihan upholsteri untuk tempat duduk AMG Performance Seats, seperti kulit Nappa tona tunggal atau dua tona, kulit Nappa Style dengan jahitan berlian, atau kombinasi kulit Nappa dengan mikrofiber DINAMICA RACE yang dikontraskan dengan jahitan kuning atau merah.

Perincian penuh Mercedes-AMG SL 2022 akan didedahkan menjelang pelancaran rasmi model pada musim panas ini.