RS150 Adventure dari Bangi

oleh HEZERI SAMSURI|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Motosikal genre Adventure memang popular tetapi banyaknya terdiri dari jentera-jentera besar.

Yang paling kecil lebih kepada jentera 250cc seperti Kawasaki Versys X, dan harganya juga melebihi RM20,000. Ada juga jenama dari China yang lebih mampu milik.

Untuk kategori motosikal underbone seperti kapchai, tidak ada langsung pilihannya sekarang.

Motosikal underbone lebih mudah diselenggara, menjimatkan bahan api dan lasak. Harga mampu milik juga membolehkan ramai memilikinya dan acapkali kita melihat ia digunakan untuk mengembara.

 

 

Khairul Afendy, 36 tahun, bekerja sebagai tenaga pengajar di sekolah swasta Real School di Ulu Langat.

Sepanjang usia beliau, sudah lebih 14 buah motosikal digunakan dan yang terkini ialah Honda RS150. Cuma kali ini, tertarik dengan rakan-rakan "touring" di dalam Page Facebook RS Official Malaysia, beliau mengubahsuai jentera RS150 kepada sebuah motosikal adventure.

"Saya pilih RS 150 kerana kajian mendapati Honda ini lebih sesuai digunakan jika mahukan enjin yang standard," terang ayah kepada seorang cahaya mata ini.

 

 

Perkara pertama yang dilakukan beliau ialah memasang sepasang panniers dan top box untuk memudahkan beliau membawa barang-barang beliau dan keluarganya.

"Di sebelah pagi, saya akan menghantar anak ke sekolah, kemudian isteri ke pejabatnya di Cheras dan kemudian langsung ke Ulu Langat."

"Kerana itu saya perlukan tempat letak barang yang banyak," kata Khairul.

 

 

Anak jati Kuala Lumpur ini dahulu suka membeli motosikal lama dan membaik-pulihnya sebelum dijual. Malah Mitsubishi Pajero yang dimiliki beliau untuk ekspedisi 4X4 diselenggara sendiri dengan bantuan bengkel milik sahabatnya, Ali Babar dari MSaza Garage di Sungai Ramal Luar, Kajang.

Kerana itu, projek RS150 Adventure ini banyak yang dilakukan Khairul sendiri. 

Di bawah ialah senarai modifikasi yang dilakukan oleh Khairul untuk RS150 Adventure beliau.

 

 

Besi penampan atau crash bar

Dibuat sendiri oleh Khairul atas bantuan MSaza Garage. Bukan mudah kerana beliau cedera (retak tulang tangan) bila cuba membengkok besi tersebut!

 

 

Panniers

Jika ada yang rasa seperti pernah nampak panniers itu, mungkin anda tidak salah. Sebenarnya, kedua-dua panniers itu adalah top-box dari motosikal KTNS RS3 yang diubah fungsi untuk dijadikan pannier.

Khairul mengkaji cara terbaik untuk memastikan ia lekat kemas pada Honda beliau dan boleh dibuka jika tidak memerlukannya. Cikgu sekolah swata ini kemudian menghabiskan beberapa hari untuk menyiapkan bracket tersebut.

Ini lebih baik dari panniers asli KTNS RS3 sendiri yang diikat terus ke kerangka motosikal.

 

 

Top-Box

Khairul memilih jenama yang terbukti, Givi untuk top-box atas.

Model 43L Advance ini lengkap dengan jaring pengikat barang di atas dan tempat sandar di belakang.

 

 

Bakul tengah dengan penutup

Pastinya jenama Givi menjadi pilihan. Model Centre Box ini nampak kemas dan comel. Paling penting, ia boleh dikunci.

 

 

Penghadang angin depan (windscreen)

Ia adalah model custom dari Indonesia dan dibeli dari SQ Motor Serdang (seberang stesen komuter Serdang) dengan harga RM160.

 

 

Paruh depan (beak)

Paruh ala-ala BMW R1200 GS itu unik.

Bila ditanya dari mana beliau mendapatkannya, Khairul menyeringai sambil menjawab, "Dari peak (penutup suria) helmet motocross! Saya ubahsuai untuk dilekatkan di sini!"

Tepuk dahi kami mendengar penjelasan beliau. Memang cantik dan memang kreatif!

 

 

Tayar

Tayar dual-purpose Corsa Cross S Platinum digunakan. Corsa ialah jenama tayar dari Indonesia, yang juga membuat tayar jenama Achilles.

Saiz ialah 100/80 hadapan dan 120/80 di belakang. Roda aloi 17-inci kekal sama. Harga yang dibeli ialah dalam RM215 dan ditempah dari Sungai Petani.

 

 

Elektronik

Khairul memasang pengecaj USB dengan fungsi voltmeter. Turut dipasang ialah lampu kabus dan pengimbang voltage (volstage stabiliser) dan sistem pembumian (grounding).

"Ini  bagi memastikan sistem elektrik RS150 ini cukup stabil untuk menampung aksesori-aksesori tambahan. Selain dari itu, tenaga elektrik pada pengecaj USB juga stabil dan tidak membahayakan alatan elektronik yang dicaj, seperti henfon," terang Khairul.

 

 

 

Lain-lain aksesori

Pelindung tangan (hand guard), pemegang GPS (dibuat sendiri), pelindung getah untuk fork hadapan dan lain-lain.


Khairul telah menghabiskan dalam RM2,100 setakat ini dan banyak aksesori dan komponen itu beliau beli dari laman membeli-belah dalam talian. 

"Murah dan jimat masa," katanya mengenai cara pembelian dalam talian.

 

 

Semestinya Khairul sudah mula hendak memanjangkan langkahnya. Ekspedisi pertama ialah bersama rakan-rakan Moped ADV Touring ke Pos Lenjang di Kuala Lipis.

"Jika ada rezeki, motosikal idaman saya ialah Kawasaki Versys 650 kerana saya kira ia serba boleh," terang Khairul.

Untuk anda yang ketandusan idea dan juga mahu membuat sebuah kapchai adventure seperti ini, anda cuma perlukan sedikit usaha dan kreativiti untuk memastikan motosikal anda unik! 

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Kemenangan pada tahun ini merupakan tahun kelima berturut-turut produk Honda memenangi anugerah Red…
Berita Global
  Ye Series juga menjadi jawapan kepada yang bertanya di mana EV Honda. Masih awal, belum…
Berita Global
  Nampaknya trend penurunan harga kenderaan elektrik (EV) bukan lagi terpencil. Semasa…