Roofnest Falcon Pro - penyelesaian untuk kereta ruang terhad ketika berkelana

oleh Mohamad Hanif|
Sudah banyak contoh-contoh campervan, caravan, motorhome, ataupun trailer camper yang pernah kami siarkan sebelum ini, semuanya memerlukan duit dan kreativiti demi memuatkan segala macam keperluan ketika berkelana.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Namun, ada juga golongan yang tidak mahukan trailer yang panjang, ataupun campervan bersaiz besar untuk percutian hujung minggu.

Untuk golongan ini, Roofnest membawakan penyelesaian berbentuk khemah bumbung yang dinamakan sebagai Falcon Pro.
 

FP


Falcon Pro jika dalam versi tertutup boleh disalah sangka sebagai rak bumbung, namun apabila dibuka, ia mampu memuatkan dua orang dewasa dengan selesa.

Ia mempunyai dimensi 2,121 mm panjang serta 1,372 mm lebar, disokong oleh penggunaan strut gas dan sistem U-bar yang mampu menyokong struktur khemah bumbung ini.

Ruangan tambahan ini menyediakan tilam busa setebal 63.5 mm, lengkap dengan pad anti-pemeluwapan terpasang pada bahagian bawah, jalur LED berkuasa USB, poket storan yang besar, serta tingkap PVC untuk menikmati pemandangan bintang di langit.
 

FP


Falcon Pro juga turut dipasangkan dengan tangga yang boleh dipanjangkan sehingga 2,590 mm untuk memudahkan akses.

Apabila tidak digunakan untuk tujuan rehat, Falcon Pro juga boleh dijadikan sebagai ruang untuk membawa peralatan mengembara, di mana ia hadir dengan sistem crossbar dengan muatan sehingga 68 kg, atau menggunakan bolt di bahagian sisi dengan muatan sehingga 34 kg.

Secara keseluruhan, khemah Falcon Pro ini hanyalah seberat 74.8 kg sahaja.
 

FP


Harga jualan yang disenaraikan bermula dari $3,995 (RM16,839) termasuk penghantaran percuma ke seluruh Amerika Syarikat.

 

Sumber: TFL