Amir berkata, sembilan segmen pengangkutan awam itu ialah teksi; kereta sewa; bas sekolah; van jenazah; ambulans; jentera bomba; bas perantara; bas mini; dan bas henti-henti.
Beliau berkata, 12 segmen di bawah sektor logistik ialah van panel, van tingkap, van separa panel, lori dan van katering makanan; van perkhidmatan bergerak; lori kotak; lori sejuk beku; dan lori yang menyediakan perkhidmatan bergerak serta membawa kargo am, hasil pertanian dan haiwan.
"Kad fleet akan digunakan untuk menyalurkan subsidi bersasar ini kepada kenderaan komersial yang layak," katanya.
Harga petrol RON95 akan diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter di bawah program Budi Madani RON95 untuk orang awam berkuat kuasa 30 September ini.
Warga negara berusia 16 tahun dan ke atas yang mempunyai lesen memandu aktif layak menikmati kadar bersubsidi itu, dengan pengesahan dibuat menerusi MyKad, mekanisme sama digunakan untuk pengagihan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Setiap rakyat Malaysia layak menerima 300 liter petrol RON95 bersubsidi sebulan, namun perkhidmatan e-panggilan dikecualikan daripada had ini.
Di bawah sistem baharu ini, bukan warganegara dan individu yang tidak layak perlu membayar pada kadar pasaran tanpa subsidi.
Amir berkata, kerajaan akan mengadakan ujian rintis bagi mekanisme itu pada Sabtu ini, bermula dengan anggota polis dan tentera.
Ia akan diikuti oleh penerima bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada 28 Sept, dan kemudiannya semua orang awam pada 30 Sept.
Langkah itu bertujuan mengurangkan kesesakan di stesen minyak, kata Amir yang turut memohon agar orang ramai bersabar sepanjang inisiatif ini dilaksanakan.