Menurut CEO Rolls-Royce Motor Cars, Torsten Müller-Ötvös menjelaskan, "ini merupakan hari yang paling bermakna dalam sejarah Rolls-Royce sejak 4 Mei 1904, di mana kami akan memulakan program pengujian atas jalan raya yang mampu meninggikan lagi revolusi kenderaan elektrik di peringkat global, serta melahirkan sebuah produk super mewah di dalam kelasnya.

Tambah beliau lagi, para pelanggan Rolls-Royce bakal menikmati pemanduan sifar emisi ini menjelang suku keempat tahun 2023.
Dari segi penampilan, Rolls-Royce Spectre merupakan sebuah EV coupe dua pintu yang mengambil bentuk seakan model Wraith, namun menurut Rolls-Royce model ini merupakan model pembangunan baharu sepenuhnya yang menggunakan pelantar Architecture of Luxury yang sama digunakan pada model Ghost dan Phantom yang terbaharu.

Tiada sebarang spesifikasi lanjut didedahkan, namun model Spectre ini akan menjalani ujian ekstensif sejauh lebih 2.5 juta kilometer yang menggambarkan simulasi penggunaan selama 400 tahun.
Dengan pengenalan model baharu Spectre ini, Rolls-Royce berada di landasan yang tepat untuk memastikan keseluruhan porffolio produk mereka terdiri daripada trenkuasa elektrik sepenuhnya menjelang tahun 2030, malah mereka juga tidak lagi berada dalam perniagaan untuk menghasil atau menjual produk menggunakan enjin pembakaran dalaman.