Rolls-Royce Sambut 10 Tahun Era Black Badge – Simbol Sisi Gelap Jenama Ultra Mewah

oleh Qalif Latif|
Tahun 2026 menandakan satu dekad kewujudan siri Black Badge daripada Rolls-Royce, sebuah barisan model yang menampilkan imej lebih berani, lebih gelap dan lebih berkuasa berbanding varian standard. Sejak diperkenalkan, Black Badge menjadi simbol kepada sisi “rebel” jenama ultra mewah Britain itu, dengan reka bentuk lebih agresif, prestasi dipertingkat serta pilihan personalisasi yang lebih berani.

Black Badge diwujudkan untuk menarik generasi pelanggan baharu Rolls-Royce yang mahukan sesuatu lebih ekspresif dan tidak terlalu konvensional, namun masih mengekalkan tahap kemewahan tertinggi yang sinonim dengan jenama tersebut.

Warna Hitam Sebagai Simbol Kuasa

Kenderaan yang disiapkan dalam kemasan hitam sering dikaitkan dengan aura sofistikated dan berkuasa. Kehadiran sebuah Rolls-Royce berwarna gelap, misalnya, mampu mencuri perhatian sama seperti iringan konvoi SUV bersaiz penuh.

Rolls-Royce Black Badge

Walaupun Rolls-Royce terkenal dengan kemasan krom berkilau dan sentuhan klasik, jenama itu turut memiliki identiti alternatif yang lebih gelap menerusi barisan Black Badge. Sepanjang sedekad lalu, siri ini menjadi platform untuk Rolls-Royce bereksperimen dengan interpretasi kemewahan yang lebih berani.

Jejak Awal Tema Gelap Sejak 1920-an

Konsep Rolls-Royce dengan kemasan hitam sebenarnya bukan perkara baharu. Rekod awal menunjukkan pada tahun 1928, sebuah Rolls-Royce 20 H.P. Brewster Brougham telah ditempah dengan radiator Spirit of Ecstasy dan gril hadapan disiapkan sepenuhnya dalam warna hitam.

Kemudian pada tahun 1964, pendekatan serba hitam turut muncul pada model Phantom V milik legenda muzik John Lennon. Walaupun bahagian luar dan dalaman kereta tersebut menggunakan kemasan hitam, gril Pantheon serta patung Spirit of Ecstasy masih mengekalkan kemasan krom.

Namun, barisan Black Badge moden secara rasmi diperkenalkan pada tahun 2016 semasa Geneva Motor Show menerusi model Ghost dan Wraith.

Proses Kemasan Lebih Kompleks

Model Black Badge melalui proses kemasan yang jauh lebih kompleks berbanding Rolls-Royce biasa. Untuk menghasilkan warna hitam yang benar-benar pekat dan dalam, sekitar 100 paun cat atomized digunakan dan disembur secara elektrostatik ke atas badan kereta sebelum dikeringkan di dalam oven khas.

Di bahagian kabin pula, reka bentuknya mengambil inspirasi daripada dunia penerbangan – satu penghormatan kepada minat pengasas Rolls-Royce, Charles Stewart Rolls terhadap dunia aviasi. Komponen gentian karbon turut digunakan, bukan semata-mata untuk mengurangkan berat, tetapi juga untuk menambah elemen visual yang lebih moden.

Rolls-Royce Black Badge

Rolls-Royce Black Badge
Selain itu, model Black Badge turut menerima talaan casis berbeza serta peningkatan kuasa berbanding varian standard.

Tidak Semuanya Perlu Hitam

Walaupun identiti Black Badge sering dikaitkan dengan kemasan gelap sepenuhnya, Rolls-Royce sebenarnya memberi kebebasan kepada pelanggan untuk menyesuaikan spesifikasi kereta mereka. Ini termasuk pilihan warna lebih berani seperti Lime Rock Green, Eagle Rock Red dan Mirabeau Blue yang pernah muncul dalam projek khas Neon Nights.

Rolls-Royce Black Badge

Rolls-Royce Black Badge


Antara model Black Badge paling menonjol sepanjang sedekad pertama termasuk Ghost Ékleipsis, yang diinspirasikan daripada fenomena gerhana matahari, serta Ghost Gamer – sebuah komisen khas yang dihasilkan untuk pelanggan dengan minat mendalam terhadap permainan video.

Rolls-Royce Black Badge

 

Masa Depan Black Badge Dalam Era Elektrik

Rolls-Royce menyatakan bahawa barisan Black Badge akan terus berkembang dengan interpretasi yang lebih ekspresif pada dekad kedua kewujudannya. Peralihan jenama itu ke arah elektrifikasi juga membuka ruang kepada evolusi baharu siri ini.

Model elektrik sepenuhnya Spectre dijangka memainkan peranan penting dalam fasa seterusnya, sekali gus membawa identiti “dark alter ego” Rolls-Royce ke era mobiliti elektrik.


 

Berita Berkenaan

Berita Global
  Rolls-Royce menyedari peluang ini dan memperkenalkan siri model Black Badge khusus untuk…