Rolls-Royce Ghost 2021 generasi baharu rasmi dilancarkan

oleh Mohamad Hanif|
Setelah beberapa gambar dan video teaser didedahkan, akhirnya sedan mewah Rolls-Royce Ghost 2021 generasi baharu rasmi dilancarkan dengan membawakan teknologi yang lebih moden dan rekaan berevolusi.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Ghost generasi baharu ini dibangunkan menggunakan seni bina aluminium fleksibel yang sama digunakan pada Phantom dan juga Cullinan, di mana beberapa komponen seperti lantai, cross member dan sill panel telah diposisikan semula bagi memastikan Ghost lebih seronok dipandu dan lebih selesa.

Jika dibandingkan dengan Ghost generasi terdahulu, Ghost generasi baharu mendapat penambahan dimensi sebanyak 89 mm panjang (5,546 mm), dan 30 mm lebar (1,978 mm).

 


Di sebalik hud enjin yang panjang itu tersedia nadi bentangan V12 6.75 liter yang mampu menghamburkan kuasa setinggi 563 kuasa kuda dan daya kilas 850 Nm yang masuk seawal putaran enjin 1,600 rpm.

Menurut Rolls-Royce, sistem kemasukan udara menampilkan ciri unik bagi mengurangkan kadar kebisingan operasi enjin memasuki ruang kabin.

Selain daripada itu, enjin V12 yang diposisikan di belakang gandar hadapan itu membolehkan sedan mewah ini mencapai pembahagian berat yang ideal 50:50.

Kuasa daripada enjin tersebut disalurkan kepada sistem pacuan semua roda menerusi transmisi automatik ZF lapan kelajuan, di mana ia turut didatangkan dengan sistem Satellite Aided Transmission yang menggunakan data GPS untuk pra-pemilihan gear yang optimum untuk selekoh yang mendatang.

 


Selain daripada sistem pacuan semua roda, Rolls-Royce Ghost 2021 juga turut didatangkan dengan ciri sistem stereng semua roda.

Aspek pemanduan turut diserikan dengan ciri baharu Planar Suspension System yang menggunakan sistem kamera untuk 'membaca' keadaan jalan dan data tersebut disalurkan kepada sistem suspensi untuk bersedia menghadapi keadaan jalan yang dimaksudkan.

Perisian Planar Suspension System ini bukan sahaja digunakan untuk mengawal operasi sistem gantungan, malah ia juga berupaya mengawal sistem pacuan semua roda, sistem stereng semua roda, kawalan kestabilan kenderaan dan sistem brek jenis self-drying.

 


Bagi memudahkan urusan keluar masuk, Rolls-Royce Ghost telah dilengkapi ciri pintu bukaan kendiri menggunakan bantuan kuasa, dan apabila pemilik mengalihkan tangan daripada pemegang pintu setelah mendapati sudut bukaan adalah bersesuaian, bukaan pintu akan terhenti dengan sendiri.

Manakala dengan hanya satu sentuhan butang pada pemegang pintu di bahagian luar, pintu tersebut akan tertutup dengan sendirinya!

Seperti yang diterangkan dalam artikel terdahulu, Rolls-Royce telah menjadikan ruang kabin Ghost sesenyap yang mungkin, terima kasih kepada talaan kepada frekuensi bunyi, platform, dan penambahan 100 kg bahan insulasi bunyi pada setiap sudut kereta ini.

Baca: Rolls-Royce Ghost ada 100 kg bahan penyerap bunyi

 


Rekaan papan pemuka pula lebih bersifat minimalis, di mana elemen Starlight yang terdapat pada alas bumbung yang menjadi rekaan ikonik Rolls-Royce turut dimuatkan pada bahagian penumpang hadapan, difahamkan perkataan Ghost itu dikelilingi oleh tidak kurang 850 bintang (kalau rajin, kira!)

Kluster meter pula adalah jenis digital dengan rekaan vintaj dan timeless, manakala saiz sistem infotainmen di bahagian tengah pula tidak didedahkan oleh Rolls-Royce.

Sementara bahagian luaran pula, rekaan Ghost 2021 tidak begitu lari jauh berbanding generasi lama, namun ia menampilkan ciri di mana gril hadapan dipasang dengan 20 unit LED bagi menjadikan ia 'bercahaya' pada waktu malam.

 


Selain daripada gril bercahaya, Ghost 2021 turut dilengkapi dengan lampu utama laser, lampu nyalaan siang LED, serta rekaan lampu belakang yang serba baharu dengan penampilan yang lebih menarik.

Dari aspek keselamatan, sedan mewah ini juga turut didatangkan dengan ciri keselamatan termaju seperti bantuan pemandangan siang dan malam, ciri pengesan haiwan liar dan pejalan kaki, sistem pandangan panorama dengan empat kamera, sistem kamera keliling, kawalan pelayaran aktif, amaran pelanggaran, amaran lintasan trafik, amaran keluar laluan, amaran penukaran laluan dan ciri parkir sendiri.

Harga jualan untuk Rolls-Royce Ghost 2021 bermula dari $332,500 (RM1,377,381).

Berita Berkenaan

Berita Global
Elemen pertama yang diterapkan adalah penggunaan platform aluminium yang memiliki tahap impedans…