Rolls-Royce Black Badge Cullinan Series II, SUV super mewah 'gedebe' dengan riasan hitam

oleh Muhammad Md Tajudin|
Rolls-Royce Black Badge Cullinan Series II
Rolls-Royce Black Badge Cullinan Series II
Rolls-Royce Motor Cars Kuala Lumpur melancarkan siri Black Badge Rolls-Royce pada Jun 2020.

Ada Ghost, Wraith, Dawn dan kenderaan utiliti sukan (SUV) super mewah Cullinan. Secara asasnya model Black Badge tampil dengan riasan hitam dan perkakasan istimewa.

Harga Black Badge Cullinan semasa dilancarkan bermula daripada RM1.7 juta, tidak termasuk duti dan penambahan lain dari pelanggan.

Tuan dan puan, kini tiba masanya untuk model baharu Black Badge Cullinan yang diperkenalkan serentak dengan Cullinan Series II.
Rolls-Royce Black Badge Cullinan Series II

 

Cullinan II masih lagi Cullinan yang dikenali, badan berkotak, gah dan sebuah Rolls-Royce.

Cuma kali ini rupa depan Cullinan tampil lebih 'gedebe' dan sporti.

Lampu besar dengan corak air mata ala trend terkini dan liang bampar seperti yang biasa ditemui pada kereta sport.

Bahagian belakang juga diubah namun tidak seketara rupa depan. Perubahan rupa depan yang dibuat (maaf) menghilangkan gaya klasik namun ada satu fakta menarik.

 

Rolls-Royce Black Badge Cullinan Series II

 

Bersama program nafas baharu jenama dan peningkatan penawaran Bespoke (tempahan khas), Cullinan berjaya menyumbang kepada penurunan purata umur pelanggan Rolls-Royce.

Pada 2010 purata usia pelanggan ialah 56 tahun dan kini menurun kepada 43 tahun.

Bentuk liang kemasukan udara bampar Black Badge Cullinan Series II berbeza dengan bilah yang condong ke dalam (kanan) dan lebih lebar.

Jeriji Pantheon pula mempunyai nyalaan dan kali pertama untuk Cullinan dan Black Badge Cullinan Series II.

 

Rolls-Royce Black Badge Cullinan Series II

 

Satu lagi ciri yang jelas berbeza ialah bingkai jeriji warna hitam dan jaluran perak. Jika tidak mahu, pelanggan boleh memesan dalam versi serba hitam.

Kesemua riasan luar dan perkakasan berkilat diberi warna hitam dan kali pertama untuk siri Black Badge, bingkai tingkap, pendakap dan pembuka pintu turut digelapkan. 

Bukan sekadar semburan biasa, setiap perkakasan disediakan dengan tangan oleh karyawan Rolls-Royce sebelum dilayang empat lapisan cat hitam dan digilap untuk hasil bermutu tinggi.

Tema hitam diteruskan pada bahagian belakang dengan kemasan ekzos dibuat menggunakan kaedah khas.

 

Rolls-Royce Black Badge Cullinan Series II

 

Khusus untuk pelanggan Black Badge Cullinan Series II, warna badan boleh disambung ke bahagian bawah untuk menampakkannya lebih rendah dan sporti.

Ringkasnya sepetri Cullinan yang 'lowered' dan turut membantu rim 23 inci yang pertama kali ditawarkan untuk siri Black Badge.

Walaupun menggunakan tema hitam model ini dilengkapi angkup brek merah dan pelanggan sebenarnya boleh memesan warna lain seperti hitam, turchese, mandarin atau forge yellow.

Pakej ini menyelerakan untuk pelanggan muda atau berjiwa muda.

 

Rolls-Royce Black Badge Cullinan Series II

 

Pada bahagian dalam Rolls-Royce mengekalkan kemasan Technical Carbon yang digunakan pada Black Badge Cullinan sebelum ini susulan sambutan baik dari pelanggan.

Seperti biasa, bahan itu bukan diambil mudah dan memerlukan 21 hari untuk disiapkan.

Pelanggan yang memesan Individual Rear Seats boleh meminta corak siri Black Badge yang dikenali sebagai simbol infiniti dalam bentuk aluminium.

Pelanggan yang mengambil Lounge Seat juga sama dengan simbol yang disulam pada bahagian tengah yang memisahkan kerusi.

 

Rolls-Royce Black Badge Cullinan Series II

 

Kerusi tersebut boleh dipesan dalam balutan tekstil Duality Twill iaitu sejenis fabrik rayon (gentian tiruan) yang dibuat daripada buluh.

Tema gelap diteruskan pada perkakasan besi seperti bingkai liang penyaman udara depan dan belakang dan menggunakan teknik khusus supaya tidak lusuh atau luntur.

Jarum meter mempunyai warna yang meriah iaitu Vivid Grellow, Neon Nights, Cyan Fire dan Synth Wave dalam gaya kaleidoskop.

 

Rolls-Royce Black Badge Cullinan Series II

 

Menggerakkan Black Badge Cullinan Series II ialah enjin 6.75 liter V12 yang menghasilkan 600 ps dan tork 900Nm. Enjin dipadan bersama kotak gear lapan kelajuan dari ZF.

Kotak gear dan kedua-dua gandar depan dan belakang yang boleh membelok (rear steering) saling bekerja bagi melaras tahap tindak balas kepada pemandu.

Tindak balas tersebut berdasarkan input pendikit dan stereng tanpa menjejaskan pemanduan 'permaidani terbang' yang lazim dengannya.

 

Rolls-Royce Black Badge Cullinan Series II

 

Melalui sentuhan butang Low pada tuil gear, pemandu dapat merasai nikmat nada dan bunyi dari sistem ekzos Bespoke Black Badge. Daya kilas boleh dirasai dari serendah 1,700 rpm. 

Mod Low juga meningkatkan kelajuan tukaran gear sebanyak 50 peratus apabila injak ditekan sebanyak 90 peratus.

Jarak pedal brek Badge Cullinan Series II juga disingkatkan untuk memberikan tindak balas yang lebih spontan mengikut input pemandu. SUV mewah atau SUV Sport?!

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Rolls-Royce Black Badge Cullinan Series II