RM6.083 bilion telah dibayar tapi tiada satu pun kapal peronda TLDM siap! Bekas Menteri Pertahanan beri keterangan pada PAC

oleh SALINA JALIL|
Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberikan keterangan hampir dua jam kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) hari ini mengenai kegagalan penyiapan enam kapal peronda kedua, Littoral Combatant Ship (LCS).


Ia merupakan projek yang dikendalikan oleh Kementerian Pertahanan bernilai lebih RM9 bilion sekaligus menjadi perolehan pertahanan terbesar dalam sejarah kementerian itu.

 

“PAC memandang serius perkara ini memandangkan sehingga Oktober 2020, sejumlah RM6.083 bilion telah dibayar, namun, tidak ada sebuah pun kapal LCS yang telah siap dibina walaupun mengikut jadual sepatutnya dua kapal LCS telah siap dibina setakat ini. 

 

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh berkata, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO adalah saksi keenam dipanggil jawatankuasa berkenaan kerana sehingga hari ini, tiada sebuah kapal LCS yang diterima oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). 

 

“Kegagalan penyiapan LCS ini amat serius kerana ia bukan sahaja membabitkan kelemahan atau kegagalan dari segi tadbir urus, perolehan dan kewangan tetapi juga memberikan kesan terhadap keselamatan dan keselamatan negara. 

 

“Isu ini telah dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 1 (Pengauditan Pematuhan Kementerian/Jabatan Persekutuan dan juga dalam Laporan Siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) Jabatan Perdana Menteri yang diterbitkan pada tahun 2019,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Ahmad Zahid merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk menjawat jawatan Menteri Pertahanan pada 10 April 2009 hingga 16 Mei 2013. 

 

Sebelum ini, PAC sudah memanggil saksi melibatkan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Muez Abdul Aziz pada 19 November 2020; Pengerusi JKSTUPKK, Tan Sri Ambrin Buang; Pasukan Projek LCS (PPLCS) TLDM pada 16 Disember 2020; bekas Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Aziz Jaafar pada 29 Julai lalu dan Ketua Pegawai Operasi syarikat pembina kapal LCS, Bousted Naval Shipyard (BNS), Low Kok Chiang. 

 

 

-UTUSAN ONLINE