RM21.7 Bilion Diperuntuk untuk Perkukuh Kesiapsiagaan Pertahanan Negara

oleh Qalif Latif|
Belanjawan MADANI 2026 memperlihatkan penegasan semula komitmen Kerajaan terhadap kekuatan ketenteraan dan kesiapsiagaan nasional apabila Kementerian Pertahanan (MINDEF) menerima peruntukan besar berjumlah RM21.7 bilion.

Tumpuan Utama: Kesiapsiagaan Pertahanan Negara

Perdana Menteri menegaskan bahawa keutamaan dalam sektor pertahanan adalah memastikan Malaysia sentiasa bersedia menghadapi ancaman keselamatan moden, baik dari segi ketenteraan mahupun ancaman hibrid. Pendekatan ini berasaskan falsafah kuno China “Jū ān sī wēi, sī zé yǒu bèi, yǒu bèi wú huàn” yang bermaksud “dalam damai, kita wajar berwaspada akan ancaman”, iaitu satu peringatan bahawa kestabilan hanya dapat dikekalkan melalui kesiapsiagaan berterusan.

RM6 Bilion Untuk Aset dan Keupayaan Baharu

Daripada jumlah keseluruhan, RM6 bilion diperuntukkan khusus bagi penyelenggaraan dan perolehan aset pertahanan baharu. Langkah ini dilihat penting dalam memperkukuh keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menghadapi ancaman konvensional serta bukan konvensional. Antara perolehan baharu yang diumumkan termasuk:


Sistem Pertahanan Udara baharu yang meliputi Medium, Short dan Very Short Range Air Defence bagi meningkatkan perlindungan ruang udara negara terhadap ancaman peluru berpandu dan pesawat musuh.
Dua buah Multi Role Support Ship (MRSS) kapal sokongan pelbagai guna yang berperanan penting untuk misi logistik, operasi kemanusiaan serta bantuan bencana antarabangsa.
Sepuluh kenderaan MALBATT bagi kegunaan pasukan pengaman Malaysia di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya dalam misi luar negara seperti di Lubnan dan Afrika.

Fasiliti Latihan dan Infrastruktur Pertahanan

Selain pembelian aset baharu, sebahagian peruntukan turut digunakan bagi penyelenggaraan fasiliti dan pusat latihan strategik. Antara projek utama ialah pembangunan Pusat Latihan Artileri di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Negeri Sembilan yang akan dinaik taraf bagi melatih anggota dalam sistem artileri moden dan peperangan jarak jauh.

Transformasi Keselamatan di Pantai Timur Sabah

Bagi memperkukuh pertahanan maritim negara, khususnya di Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE), Pelantar Laut Tun Sharifah Rodziah akan digantikan dengan Multi Purpose Command Platform (MPCP) yang baharu menjelang Jun 2026. Platform ini akan berfungsi sebagai pusat kawalan operasi laut pelbagai fungsi, meliputi pemantauan, risikan dan koordinasi tindak balas pantas terhadap ancaman lanun, penyeludupan serta pencerobohan asing.

Pemerkasaan Sumber Manusia dan Veteran ATM

Belanjawan 2026 turut memberi perhatian kepada kesejahteraan anggota tentera dan veteran. Melalui skim PROTÉGÉ, kontraktor yang dianugerahkan kontrak perolehan MINDEF akan diwajibkan menyediakan peluang pekerjaan kepada veteran ATM serta program latihan sijil dan diploma kepada anggota yang bakal bersara.
Program seperti Work-Based Learning (WBL) dan Readiness To Work Programme akan membantu peralihan anggota ke sektor awam dan swasta selepas menamatkan perkhidmatan.


 

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Aset-aset tersebut akan ditempatkan di kem-kem ATM dan juga hospital ATM di seluruh negara,…